Kes tembak Komander AKPS: Polis tahan anggota PGA bantu siasatan
SUNGAI PETANI – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat koperal ditahan bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap kereta dipandu Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, bulan lalu.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, anggota berusia lingkungan 30-an yang bertugas di bahagian perisikan sempadan itu ditahan 5 Mac lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Tambahnya, suspek kemudiannya direman selama tujuh hari dan dibebaskan semalam dengan jaminan polis setelah setelah tamat tempoh berkenaan.
“Anggota ini sudah dua tahun bertugas di sempadan, dia adalah perisik dan kita tahan bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap Komander AKPS.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis ketamin, namun kita tidak tahan dia kerana ambil dadah sebaliknya untuk membantu siasatan kes ini,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.
Jelas beliau lagi, siasatan awal mendapati anggota itu mempunyai hubungan rapat dengan ahli sindiket yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.
Siasatan turut mendapati anggota itu berada di lokasi kejadian bersama ahli sindiket kira-kira empat hingga lima jam sebelum insiden tembakan berlaku.
“Maklumat diperoleh menunjukkan dia berkawan rapat dengan ahli sindiket dan dipercayai pernah bersama menghisap dadah.
“Jadi apabila ada maklumat sedemikian, kita tidak akan berkompromi dan perlu menahannya untuk siasatan. Bagaimanapun, anggota terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis semalam selepas tempoh reman tamat.
“Polis akan mendapatkan perintah bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan suspek memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan,” katanya lagi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu, kenderaan Proton X70 dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir dipercayai ditembak dua das oleh suspek tidak dikenali.
Mangsa bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan daripada senjata api dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















