BERITA SEMASAPMX

Tingkatan Enam kekal di bawah KPM, pelajar terima bantuan sama seperti murid sekolah – PM

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pengurusan Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) buat masa ini, selain memperluaskan pemberian bantuan kepada lebih 30,000 pelajar prauniversiti itu setaraf dengan bantuan yang diterima murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan semasa sistem pendidikan serta pandangan pelajar Tingkatan Enam yang merasakan mereka tercicir daripada beberapa inisiatif bantuan kerajaan.

“Untuk Tingkatan Enam yang memanfaatkan lebih 30,000 pelajar sekarang ini, kita akan beri bantuan yang sama seperti pelajar darjah satu hingga Tingkatan Lima.

“Setiap kali saya bertemu pelajar Tingkatan Enam, mereka menyatakan mereka tertinggal daripada bantuan yang diberikan,” katanya ketika berucap pada pertemuan bersama warga Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Menurut beliau, walaupun cadangan meletakkan Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaras dengan statusnya sebagai pendidikan prauniversiti mempunyai asas yang baik, pelaksanaannya memerlukan tempoh peralihan kerana melibatkan perubahan sistem.

Sehubungan itu, beliau memutuskan supaya Tingkatan Enam terus berada di bawah KPM sehingga satu mekanisme yang lebih sesuai dapat dilaksanakan pada masa hadapan.

Pada masa sama, Anwar mahu identiti Tingkatan Enam sebagai pendidikan prauniversiti diperkasakan dengan pengurusan yang lebih tersusun di sekolah.

Beliau mencadangkan supaya pelajar Tingkatan Enam ditempatkan di blok berasingan dan diurus sebagai satu program khas, bukannya dianggap sebahagian daripada aliran sekolah menengah biasa.

“Kalau dalam satu sekolah ada Tingkatan Enam, ia harus mempunyai blok berasingan dan pengetua perlu menguruskan program itu secara berasingan.

“Kalau ada perhimpunan, biarlah perhimpunan sekolah melibatkan murid sehingga Tingkatan Lima, manakala Tingkatan Enam diberikan pengiktirafan khas sebagai sebuah bahagian prauniversiti walaupun masih berada dalam kawasan sekolah yang sama,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu akan memberi imej dan suasana pembelajaran yang lebih sesuai dengan status pelajar Tingkatan Enam sebagai lepasan sekolah menengah yang sedang mengikuti pendidikan prauniversiti.

Anwar berkata, kerajaan akan menilai semula kedudukan Tingkatan Enam dalam tempoh beberapa tahun akan datang, termasuk kemungkinan mewujudkan kolej khas Tingkatan Enam sekiranya keadaan mengizinkan.

“Buat masa sekarang, saya putuskan supaya prauniversiti atau Tingkatan Enam kekal di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button