POLITIK

Sanusi serah LOD kepada pihak didakwa putar belit kenyataan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan pasukan peguamnya sudah memulakan proses menyerahkan surat tuntutan (LOD) kepada pihak yang didakwa memutar belit kenyataannya dalam ceramah di Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah itu berkata, lebih ramai individu berada dalam senarai untuk menerima LOD sekiranya didapati melakukan tindakan sama termasuk memutar belit, menokok tambah dan mengulas kenyataannya di luar konteks sebenar.

Menurutnya, tindakan undang-undang itu diambil bagi memberi pengajaran kepada mana-mana pihak agar tidak memanipulasi kenyataan yang disampaikannya.

“Penyerahan LOD ini sedang diuruskan oleh pasukan peguam. Mereka memutar belit, menokok tambah, mengada-adakan perkara yang tiada, memberi komen berasaskan sumber yang telah diputar belit tanpa diperiksa, selain memesong dan memanipulasi ucapan saya di luar maksud sebenar.

“Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua,” katanya menerusi kenyataan di akaun media sosialnya hari ini.

Berdasarkan paparan LOD yang dikongsikan dalam hantaran tersebut, individu pertama yang menerima surat berkenaan ialah Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan.

Sabtu lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman terhadap mana-mana pihak yang didakwa memanipulasi kenyataannya berhubung sejarah bagi kepentingan politik.

Beliau turut memaklumkan laporan polis akan dibuat terhadap pihak yang didakwa memutar belit kenyataan tersebut, sambil menegaskan ucapan yang disampaikannya hanya berdasarkan fakta sejarah dan tidak ditujukan kepada mana-mana kaum atau pihak tertentu.

Susulan itu, kelmarin, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dengan mendakwa Sathia mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung petikan ceramah Muhammad Sanusi.

Menurut beliau, tuduhan kononnya Muhammad Sanusi menyebut frasa ‘Kalau India balik ke India, kalau Cina balik ke China’ adalah tidak tepat, bersifat menghasut dan berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat di negara ini.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dalam ceramahnya mencetuskan kontroversi apabila menyebut, “Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand.”

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button