BERITA SEMASAPOLITIK

Dakwaan guling MB Sanusi tidak masuk akal – Setiausaha Akhbar

ALOR SETAR – Dakwaan kononnya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan digulingkan oleh seorang EXCO daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) disifatkan sebagai tidak berasas dan tidak masuk akal.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim menegaskan khabar angin yang tular itu adalah fitnah dan sengaja direka untuk mencetuskan persepsi negatif terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

Menurutnya, dakwaan bahawa seorang EXCO BERSATU kononnya mendapat sokongan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas bagi melantik Menteri Besar baharu adalah tidak benar sama sekali.

“Itulah, pada zaman ‘edan’ ini, benda yang tidak berasas pun mudah sangat tular. Benda yang tidak benar, menjalar jalar jadi fitnah.

“Yang peliknya, ia akhirnya diterima sebagai benar kerana zaman ini orang dah tak tahu nak beza apa yang benar dengan yang tidak benar.

“Walaupun satu Malaya (Malaysia) sudah tahu siapa EXCO yang dimaksudkan, saya sengaja tidak mahu sebut namanya kerana tidak mahu memanjangkan fitnah.

“Saya juga tidak berasa perlu untuk call dia dan tanya ‘direct from the horse’s mouth’ kerana tahu malah sangat yakin apa yang tular sama sekali tidak benar,” tulisnya di Facebook.

Tambah beliau, hubungannya dengan EXCO yang dimaksudkan itu juga sangat baik.

“Saya percaya untuk terlintas dalam hati pun dia tidak berani walaupun apa yang dia berani buat, orang lain termasuk saya sendiri pun tidak berani.

“Saya ada hubungan yang sangat baik dengan YB itu dan hubungan dia sendiri dengan MB Sanusi juga adalah teramat baik.

“Haaaa… sebelum terlupa, saya nak peringatkan kepada si pencipta fitnah, kalaupun nak buat kerja jahat, otak tu biaq cerdik sikit!.

“Janganlah tiru bulat-bulat atau orang Kedah kata ‘ambik sebijik-sebijik’ plot apa yang sudah berlaku di Perlis,” katanya.

Menurutnya lagi, kesemua ADUN PAS dan BERSATU di Kedah kekal taat di bawah kepimpinan Muhammad Sanusi sebagai ketua kerajaan negeri.

Malah, katanya, adalah tidak logik untuk mana-mana ADUN bertindak membelot selepas mengambil kira implikasi politik yang boleh berlaku, termasuk perkembangan terbaharu di negeri jiran.

Dalam pada itu, beliau turut menegur tindakan ADUN Kota Darul Aman daripada DAP, Teh Swee Leong yang memuat naik poster tular berhubung dakwaan tersebut di Facebook rasminya.

Muhammad Mat turut menyifatkan tindakan sebuah akhbar berbahasa Cina yang menyiarkan dakwaan berkenaan sebagai sesuatu yang mengecewakan.

“Orang politik, masih boleh diterima kerana apabila melihat sesuatu yang membawa laba politik, kadang kala jari boleh mendahului akal.

“Apa yang menyedihkan saya ialah apabila media profesional Guang Ming Daily turut menyiarkan maklumat picisan itu sebagai salah satu beritanya.

“Saya pernah berada di situ (media) selama 25 tahun dan hampir tiga tahun sebagai pengajar kewartawanan, ini adalah sesuatu yang cukup ironi bagi saya.

“Bukan tidak boleh menyiarkan info yang tular tetapi ada caranya, iaitu tentukan apa yang auta dan apa pula faktanya.

“Bukan dengan menyogok auta untuk diterima oleh masyarakat sebagai fakta! Apa lagi dengan memaparkan ayat ‘Goodbye Sanusi’. Sangat biadab,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button