BERITA SEMASA

MCA, MIC dipelawa sertai PN

ALOR SETAR – Perikatan Nasional (PN) tidak keberatan memberikan kerusi kepada MCA dan MIC untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti sekiranya dua parti itu meninggalkan Barisan Nasional (BN), lapor BH Online.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang turut mencadangkan MCA serta MIC menyertai PN yang mampu menawarkan tempat untuk calon kedua-dua parti itu bertanding di kerusi campuran pada PRN tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, yang memaklumkan parti itu tidak akan bertanding pada PRN di enam negeri yang akan berlangsung bulan depan.

Selang beberapa jam selepas itu, satu lagi komponen BN iaitu MIC turut mengumumkan keputusan sama.

Dalam pada itu, Sanusi percaya tindakan MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding menjelang PRN sebagai satu manifestasi bantahan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN.

“Pada pandangan saya, apabila BN berada bersama parti bukan Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dan PKR yang menjadi parti berbilang kaum, jadi kerusi campuran ini terpaksa diberi kepada PH.

“Maka kerusi MCA dan MIC tak ada lagi, oleh kerana tak ada kerusi boleh menang dan mereka bertanding untuk kalah, jadi adalah lebih MCA dan MIC tidak bertanding.

“Hal ini perlu dilanjutkan lagi dengan MCA dan MIC keluar daripada BN…itu lebih munasabah dan saya rasa kerusi campuran di Malaysia ini boleh diwakili MIC dan MCA kalau mereka menjadi komponen PN,” katanya pada Sesi Khas Bersama Sanusi malam tadi.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menafikan wujud hubungan dingin antara MCA dan MIC dengan BN, sehingga kedua-dua parti komponen itu mengambil keputusan tidak bertanding pada PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Pengerusi BN itu berkata, kedua-dua parti terbabit berkemungkinan mempunyai alasan tersendiri untuk tidak bertanding dan beliau menghormati keputusan mereka.

Sementara itu, Muhammad Sanusi mendakwa kemajuan Selangor bukan disebabkan pentadbiran PH, sebaliknya negeri itu terletak berhampiran dengan ibu negara.

Beliau berkata, Selangor tidak boleh dianggap sebagai negeri contoh PH kerana ia hanya menumpang kelebihan dan berkongsi rezeki berikutan berdekatan dengan Kuala Lumpur.

“Selangor bertuah kerana dekat dengan Kuala Lumpur kerana di situ menjadi pusat pembangunan, pusat perniagaan dan semua aktiviti ekonomi lain yang berpusat di Kuala Lumpur.

“Negeri lain termasuk Kedah juga boleh maju seperti Selangor jika terletak berhampiran ibu kota, malah kalau Kedah terletak berhampiran dengan Kuala Lumpur, negeri ini akan lebih maju dari Selangor,” katanya.

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button