POLITIK

PRN Johor: Calon BN jamin kempen harmoni di Semerah walaupun saingan tiga penjuru

PARIT SULONG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Fared Mohd Khalid

menyifatkan kedua-dua pencabarnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai individu yang baik dan dikenali ramai, sekali gus yakin kempen di kawasan itu akan berlangsung dalam suasana harmoni.

Menurut beliau, calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Khuzzan Abu Bakar dan calon Perikatan Nasional (PN), Halim Kepol bukanlah individu asing kerana masing-masing mempunyai hubungan baik dan pernah bersama dalam pelbagai program kemasyarakatan sebelum ini.

“Mohd Khuzzan seorang yang baik dan begitu juga Halim Kepol. Kedua-duanya merupakan individu yang dikenali serta mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat di Semerah.

“Saya boleh beri jaminan bahawa DUN Semerah akan menunjukkan contoh kempen pilihan raya yang harmoni antara ketiga-tiga calon kerana kami saling mengenali antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon DUN Semerah hari ini.

Fared berkata, walaupun berbeza parti dan ideologi politik, perkara itu tidak seharusnya menjadi punca perbalahan sepanjang tempoh berkempen.

Menurutnya, rakyat di Semerah lebih mengutamakan perpaduan serta semangat muafakat berbanding politik kebencian.

“Kami memahami erti kerjasama dan keharmonian dalam masyarakat. Sebab itu saya percaya kempen di Semerah akan berlangsung secara matang serta penuh rasa hormat antara satu sama lain,” katanya lagi.

Fared berkata, fokus utama beliau sepanjang kempen adalah menerangkan rekod perkhidmatan yang telah dilaksanakan sepanjang lebih empat tahun menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

“Kebajikan rakyat juga akan terus diberikan perhatian walaupun kempen pilihan raya sedang berlangsung.

“Misi saya adalah memastikan rakyat terus terbela. Kempen adalah satu perkara, tetapi urusan membantu rakyat dan menyalurkan permohonan bantuan kepada jabatan serta agensi berkaitan akan diteruskan seperti biasa,” katanya lagi.

Beliau turut mengakui media sosial akan menjadi antara medium utama untuk mendekati pengundi selain berkongsi pelbagai program dan pencapaian yang telah dilaksanakan sebelum ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button