CYBERJAYA – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menolak pelawaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menyertai parti berkenaan menerusi ‘Rumah Bangsa’.
Isham yang dipecat daripada UMNO pada 6 Disember 2023 berkata, beliau tidak berminat untuk menyertai gagasan itu kerana UMNO masih berada dalam kerangka Kerajaan MADANI, sekali gus menunjukkan masih wujud kaitan kerjasama antara parti berkenaan dengan DAP.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyarankan supaya Presiden UMNO bertemu denga pemimpin UMNO yang pernah dipecat dan digantung sebelum ini bagi menyatakan permohonan maaf sebelum menjemput mereka kembali menyertai perjuangan berkenaan.
Isham menyebut beberapa nama seperti bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, selain Khairy dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan serta lain-lain yang menerima tindakan parti sebelum ini.
“Minta maaf kepada mereka sebelum jemput mereka masuk UMNO semula jika mereka mahu. Bagi saya, tidak perlu jemput atau datang jumpa saya sebab saya sudah beberapa kali beritahu yang selagi dia bekerjasama dengan DAP saya tidak akan masuk.
“Titik. Tidak perlulah tanya saya banyak kali soalan ini kerana jawapan saya tetap sama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Isham berkata, Ahmad Zahid perlu menurunkan ego dan bertemu dengan pemimpin yang dipecat atau digantung UMNO sekiranya beliau ikhlas mahu mereka kembali kepada parti.
“Dia perlu turunkan ego dan pergi jumpa mereka yang dipecat dan gantung itu dan minta maaf kepada mereka, bukan suruh orang-orang yang dipecat dan gantung itu pergi menghadapnya,” katanya.
Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan sebagai berkata, pelawaan di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan UMNO.
Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menjadi antara individu terawal secara terbuka mengumumkan mahu kembali menyertai parti itu menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








