BERITA SEMASA

King Sing nafi dakwaan hidangan alkohol dalam majlis anjuran Tourism Malaysia

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menafikan dakwaan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin kononnya terdapat hidangan minuman beralkohol dalam sebuah majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) baru-baru ini.

Beliau berkata, tuduhan itu tidak berasas dan amat mengelirukan kerana Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet yang berlangsung selama dua hari setengah yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.

“Majlis makan malam yang dipertikaikan sebenarnya adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta yang mahu menaja serta meraikan rakan-rakan antarabangsa.

“Tourism Malaysia hanya meminjam platform itu bagi melancarkan Kalendar Acara Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang menyenaraikan 318 acara di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut King Sing, pengisian makanan dan minuman dalam majlis tersebut adalah di bawah tanggungjawab penganjur manakala Tourism Malaysia hanya menyelaras persembahan seni dan budaya serta pelancaran kalendar acara.

”Dalam majlis itu turut disediakan pelbagai pilihan minuman tanpa alkohol yang mencukupi bagi memenuhi keperluan tetamu antarabangsa.

“MOTAC sentiasa menghormati kepelbagaian budaya dan pegangan agama rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Sehubungan itu beliau menasihatkan Mas Ermieyati supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan Perlembagaan Persekutuan untuk mengelirukan rakyat dalam isu tidak berkaitan.

“Mengeluarkan kenyataan tanpa fakta dan bersifat fitnah hanya untuk mempopularkan diri sendiri, menimbulkan keraguan serta menjejaskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia dan langsung tidak akan menguntungkan sesiapa.” katanya lagi.

Dalam pada itu, King Sing menegaskan semua pihak perlu memberi tumpuan kepada usaha menjayakan VM2026 kerana sektor pelancongan mampu menjadi pemangkin peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dan penjanaan tukaran asing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button