Kempen ‘Rasa-Rasa Malaysia’ angkat warisan kulinari sempena TMM 2026
KUALA LUMPUR – Tourism Malaysia menyokong pelancaran kempen ‘Rasa-Rasa Malaysia’ oleh Inside Scoop bagi menonjolkan kepelbagaian warisan kulinari tempatan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Kempen tersebut dilancarkan oleh Pengarah Kanan Pengurusan Tourism Malaysia, Wizani Rosmin di cawangan Inside Scoop, Taman Tun Dr Ismail, baru-baru ini.
Tourism Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan mereka dalam mengetengahkan pengalaman autentik Malaysia serta mempromosikan pelancongan domestik sempena VM2026.

“Inisiatif ini juga menekankan kepentingan kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta dalam memajukan agenda pelancongan negara.
“Dari sudut strategik, inisiatif ini selari dengan matlamat VM2026 untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi yang kaya dengan budaya, di mana makanan berperanan sebagai medium utama penceritaan.
“Dengan menterjemahkan identiti setiap negeri ke dalam sajian yang menarik, kempen ini menggalakkan pelancong tempatan dan antarabangsa untuk meneroka keunikan setiap negeri melalui perisa tempatan,” menurut kenyataan tersebut.
Koleksi ‘Rasa-Rasa Malaysia’ menampilkan enam perisa edisi terhad yang diinspirasikan daripada keunikan warisan negeri-negeri di Malaysia.
Antaranya kopi Liberica dari Johor, coklat gelap dari Kelantan, dodol durian dari Melaka, gula apong dari Sarawak, minuman ‘Kaw Dinosaur’ yang mewakili Kuala Lumpur dan Selangor serta strawberi Cameron Highlands, Pahang.

Bagi meningkatkan penglibatan pengunjung, kempen itu turut memperkenalkan elemen interaktif seperti ‘Ice Cream Passport’ edisi terhad dan aktiviti pengumpulan cop, sekali gus menggalakkan orang ramai mengunjungi pelbagai cawangan Inside Scoop di seluruh negara.
Koleksi istimewa itu akan mula ditawarkan di semua cawangan Inside Scoop bermula 6 April hingga 11 Mei 2026.
Tourism Malaysia turut mengalu-alukan kerjasama daripada pemain industri bagi menghasilkan lebih banyak kempen berasaskan pengalaman, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan global pilihan.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen VM2026, layari laman web rasmi Tourism Malaysia di www.tourism.gov.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















