BERITA SEMASA

MB Kedah bakal tampil dalam filem The Keris, berlakon tanpa bayaran

SUNGAI PETANI – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bakal membuat kemunculan khas dalam naskhah filem terbaharu berjudul The Keris.

Penampilan pertama beliau di skrin besar itu menyaksikan beliau memegang watak seorang panglima.

Jelas Sanusi, pembabitannya bertujuan menghidupkan semula semangat perjuangan tokoh silam bagi memotivasikan generasi muda agar menghargai warisan dan jati diri bangsa.

“Ini pengalaman baharu dalam hidup saya. Watak saya sebagai seorang panglima yang datang memberi semangat kepada pesilat, termasuk seorang pesilat yang akan bertarung dengan jaguh dari luar negara.

“Semangat kepahlawanan Hang Tuah itu dijelmakan dalam The Keris, peranan saya adalah membawa semangat itu kepada anak muda yang terbabit dalam seni silat. Nak tengok saya berlakon, jom tonton The Keris,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Poster, Teaser dan Trailer Filem The Keris, di sini, semalam.

Filem arahan Viknes Perrabu itu turut menampilkan lakonan Datuk Jalaluddin Hassan, Raja Azrey Raja Kamaruzzaman dan Syazlie Syazz.

Mengulas pengalaman pertamanya berlakon, Muhammad Sanusi mengakui ia bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan penghayatan watak yang mendalam.

Katanya, beliau menerima tawaran itu kerana watak yang diterima seiring dengan minatnya untuk mengangkat seni dan budaya Melayu, khususnya seni silat.

“Berlakon ini susah kerana pelakon perlu menghayati skrip dan watak. Saya ini orang ‘real’, tetapi bila cuba berlakon, tidaklah terlalu kekok.

“Saya terima sebab ia berkaitan budaya Melayu. Kalau watak lain mungkin saya tidak ambil, tetapi ini berkait dengan pahlawan Melayu, saya pun tak ambil bayaran, percuma saja,” katanya.

Beliau berkata, medium perfileman boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan mesej positif kepada generasi muda selain memperkenalkan warisan budaya negara.

Selain itu, katanya, pembabitan kru daripada pelbagai kaum dan latar belakang serta penekanan terhadap budaya Melayu menjadikan filem itu unik dan berpotensi menarik perhatian penonton.

“Banyak pengaruh datang daripada filem, termasuk yang negatif. Jadi, kita gunakan cara sama untuk bawa mesej positif dan budaya kita kepada generasi akan datang.

“Saya harap filem ini berjaya dan mendapat sambutan penonton di seluruh negara,” katanya.

Mengulas kemungkinan untuk terus berlakon, beliau bersedia mempertimbangkan tawaran sekiranya diberikan watak yang sesuai.

“Kalau ada watak yang baik, saya sedia pertimbangkan. Kehidupan kita ini pun seperti pementasan, cuma bezanya tanpa skrip,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button