Jangan jadikan keputusan PRN kayu ukur sentimen seluruh negara – Altimet
HULU LANGAT – Ketua Cabang PKR Ampang, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet berpandangan penolakan terhadap sesuatu parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak wajar dijadikan kayu ukur kepada sentimen politik di peringkat nasional.
Beliau berkata, terdapat kecenderungan segelintir ahli politik menggunakan keputusan PRN untuk membina naratif kononnya ia merupakan gelombang yang bakal mempengaruhi seluruh negara, sedangkan hujah sedemikian hanya digunakan apabila bersesuaian dengan kepentingan politik mereka.
Menurutnya, setiap negeri mempunyai landskap politik serta corak pengundian yang berbeza dan keputusan di sesebuah negeri tidak boleh digeneralisasikan sebagai gambaran keseluruhan sentimen rakyat.
“Saya rasa orang politik selalu berkata kita tidak boleh guna keputusan PRN sesuatu negeri itu sebagai kayu ukur keseluruhan negara.
“Tetapi pada masa sama, apabila ia sesuai dengan naratif mereka, mereka pula kata keputusan itu adalah satu gelombang yang akan dibawa ke seluruh negara. Saya rasa itu tidak adil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.
Baca juga : PRN Negeri Sembilan: Altimet mahu pengundi utamakan rasional, bukan emosi
Mengulas lanjut, Altimet berkata, negeri seperti Sabah, Johor dan Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri dari segi pemikiran serta pertimbangan pengundinya.
Beliau menegaskan setiap negeri mempunyai pengundi yang matang dan bijak dalam membuat keputusan berdasarkan keperluan serta pentadbiran negeri masing-masing, bukannya dipengaruhi sepenuhnya oleh perkembangan politik di negeri lain.
“Sebab itu saya rasa mana-mana negeri termasuk Sabah, Johor dan Negeri Sembilan mempunyai pengundi yang bijak untuk menentukan siapa yang layak mentadbir negeri mereka,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















