Malaysia diberi tempoh dua tahun perkukuh undang-undang tangani buruh paksa
KUALA LUMPUR – Malaysia diberi tempoh dua tahun oleh Amerika Syarikat (AS) untuk memperkukuhkan kerangka perundangan berkaitan buruh paksa selepas Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara kedua-dua negara diratifikasi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tempoh itu membolehkan Malaysia membuat pindaan terhadap undang-undang sedia ada, khususnya bagi menutup kelompongan berkaitan isu buruh paksa yang dibangkitkan oleh AS.
Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) juga telah dimaklumkan mengenai keperluan meminda beberapa peruntukan undang-undang berkaitan perkara tersebut.
“Dua tahun tempoh diberi bukan segera sebab perjanjian sudah ditandatangani. Sebaik kita sudah meratifikasi elemen terbabit, maknanya dia bagi dua tahun untuk betulkan undang-undang yang kita tidak ada.
“Kalau ada undang-undang berkenaan dalam negara, maknanya kalau anda mengambil pekerja asing tanpa permit boleh masuk penjara, kena denda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-50 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) 2026, di sini hari ini.
Mengulas tarif 10 peratus yang dikenakan AS terhadap Malaysia susulan siasatan berkaitan buruh paksa, Johari berkata kadar tersebut masih lebih rendah berbanding tarif yang dikenakan ke atas beberapa negara lain.
Beliau menjelaskan, antara isu yang dibangkitkan ialah ketiadaan peruntukan undang-undang khusus di Malaysia bagi menghalang penggunaan bahan mentah atau komponen yang dihasilkan menerusi buruh paksa di negara ketiga sebelum dibawa masuk, diproses dan dieksport semula sebagai produk Malaysia.
“Mereka sudah lakukan siasatan ke atas isu buruh paksa dan kita akan dikenakan (tarif) 10 peratus berbanding negara lain yang dikenakan dalam 12.5 peratus.
“Jadi mana-mana syarikat atau industri yang ambil buruh tidak mengikut organisasi buruh antarabangsa contohnya dan terjebak dalam buruh paksa, dia boleh dikenakan tindakan kerana kita ada undang-undang.
“Tetapi sebab kita tidak ada undang-undang untuk melindungi negara lain yang guna buruh paksa, kemudian bawa masuk barang dalam negara kita sebagai input dan kita proses barang itu jadi produk Malaysia untuk eksport,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















