POLITIK

Tindakan Tengku Zafrul tidak terikat Akta Antilompat Parti – Johari

BATU PAHAT – Tindakan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mahu menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah meninggalkan UMNO tidak terikat dengan akta antilompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663).

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, ini kerana Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu adalah seorang Senator dan bukannya Ahli Parlimen.

“Saya tiada apa nak ulas, cuma nak ucapkan selamat maju jaya kepada beliau. Dalam politik ini kita tidak boleh memaksa orang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Dewan Serbaguna Taman Melodi Kampung Parit Bilal, di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai desakan Ketua Pemuda UMNO supaya Tengku Zafrul meletak jawatan sebagai menteri, Johari berkata, kuasa lantikan atau sebaliknya adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.

“Ketika beliau (Perdana Menteri) nak membuat keputusan (lantikan menteri), beliau akan bergantung kepada sumbangan parti politik,” katanya.

Johari turut menegaskan, tindakan Tengku Zafrul sama sekali tidak menjejaskan hubungan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketika ini, tegasnya, perkara paling penting ialah memastikan kestabilan politik sentiasa wujud supaya Kerajaan Perpaduan kekal sehingga hujung penggal.

“Kita tidak boleh lagi bergaduh kerana masing-masing ada peranan. Macam saya yang menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan, kita ada tanggungjawab salah satunya adalah untuk memastikan kestabilan politik.

“Kalau tiada kestabilan politik, macam mana kita membangunkan negara. Jadi, soal ini (Tengku Zafrul) tidak menjejaskan pakatan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul memberitahu beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan kepada pucuk pimpinan parti, dan akan menyertai PKR.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button