BERITA SEMASADALAM NEGERI

Tiada kompromi terhadap piawaian halal Malaysia – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dalam mengekalkan piawaian halal Malaysia walaupun negara sedang melaksanakan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, semua produk yang diimport dari Amerika Syarikat masih tertakluk kepada piawaian halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta peruntukan Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal 2011).

“Tiada sebarang kelonggaran terhadap proses pensijilan halal. Hanya produk yang mendapat pengesahan halal daripada badan pensijilan di Amerika Syarikat yang telah diiktiraf oleh JAKIM dan memenuhi keperluan halal Malaysia dibenarkan untuk tujuan eksport ke negara ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, pengiktirafan JAKIM terhadap mana-mana badan pensijilan halal luar negara dibuat melalui proses audit dan penilaian yang ketat bagi memastikan tahap pematuhan terhadap piawaian halal Malaysia dipatuhi sepenuhnya.

“MITI bersama JAKIM dan agensi berkaitan juga akan memperketatkan prosedur pemantauan terhadap pengusaha import yang mendakwa memiliki sijil halal selain menyelaras rundingan diplomatik dan teknikal dengan pihak Amerika Syarikat agar sebarang perjanjian perdagangan tidak bercanggah dengan kehendak syariah.

“Kerajaan turut memberi jaminan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mensasarkan pasaran Malaysia dengan produk yang tidak mematuhi piawaian halal JAKIM,” katanya.

Jelas beliau, langkah itu penting bagi memastikan keyakinan rakyat dan integriti industri halal Malaysia kekal utuh di peringkat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button