BERITA SEMASA

Menteri Agama imbas pengalaman dipersoal ketika bahas pelaksanaan hudud

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mengimbas kembali pengalaman ketika dirinya dipersoalkan sekumpulan lelaki selepas menyampaikan syarahan berkaitan pelaksanaan hudud dan kajian pelaksanaannya di beberapa negara.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku ketika dirinya masih belum menjawat jawatan dalam Kabinet dan berlaku sebaik selesai menyampaikan syarahan berkenaan.

hudud
Buku bertajuk Hududisme: Antara Retorik dan Realiti yang dihasilkan Zulkifli pada 2016.

Menurutnya, ketika itu dapatan ilmiah yang dikemukakan dipertikai, malah keyakinan serta akidahnya turut dipersoalkan secara terburu-buru.

“Waktu itu, tiada guna membalas amarah dengan emosi; saya hanya tersenyum, berlapang dada, dan melangkah tenang menuju ke jamuan penganjur,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Zulkifli berkata, pengalaman itu kembali dikenang selepas beliau tertumpu kepada sebuah naskhah berjudul Hududisme: Antara Retorik dan Realiti yang diterbitkan pada 2016.

Katanya, buku berkenaan pernah menjadi antara penulisan paling laris dan dihasilkan bukan untuk mengejar populariti, sebaliknya sebagai usaha untuk mencerahkan fikrah umat agar syariat agama tidak dijadikan modal retorik serta dipermainkan mengikut musim.

Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”

Mengulas perkembangan semasa, Zulkifli berkata isu berkaitan pelaksanaan hudud kini dilihat tidak lagi mendapat perhatian seperti suatu ketika dahulu.

“Adakah masyarakat kita kini semakin matang memahami realiti penterjemahan hukum syarak atau wallahua’lam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya tidak menjadikan agama sebagai alat untuk melampiaskan emosi, sebaliknya mengutamakan hikmah, kebenaran dan ilmu yang berintegriti.

“Moga Allah memelihara hati kita daripada menjadikan agama sebagai alat emosi, dan mengurniakan kita hikmah untuk sentiasa berjuang atas paksi kebenaran dan ilmu yang berintegriti,” katanya.

Beliau turut mengajak rakyat bersatu padu menggembleng tenaga memajukan umat dan negara demi melahirkan generasi beradab, berakhlak dan bertamadun tinggi serta berjaya di dunia dan sejahtera di akhirat.

“Fastabiqul khairat!” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button