BERITA SEMASA

Menteri Agama doakan dua pendaki wanita hilang segera ditemui dari Mekah

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menzahirkan doa agar dua pendaki wanita yang dilaporkan hilang di Selangor dan Perak segera ditemui dalam keadaan selamat.

Menerusi hantaran di Facebook dari Tanah Suci Mekah, beliau berkata, seluruh rakyat Malaysia turut diharap dapat bersama-sama mendoakan kelancaran usaha mencari dan menyelamat mangsa terbabit.

“Ya Allah, permudahkan segala usaha pencarian, lindungi pasukan penyelamat dan seluruh individu yang bertungkus-lumus di dalam hutan.

“Kurniakan petunjuk dan khabar baik buat semua keluarga yang menanti. Sesungguhnya tiada yang mustahil dengan izin-Mu,” tulisnya.

Menurut beliau, mangsa pertama ialah Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang dilaporkan hilang ketika menuruni Bukit Changkat Asa berhampiran kawasan Hulu Bernam/Tanjung Malim.

Seorang lagi pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, pula dilaporkan hilang di Bukit Batu Putih selepas dipercayai tersasar daripada laluan pendakian.

Beliau turut berharap kedua-dua mangsa dapat segera ditemui selain mendoakan keselamatan semua anggota penyelamat yang terlibat dalam operasi pencarian di lokasi berkenaan.

Kes kehilangan kedua-dua pendaki itu mendapat perhatian ramai di media sosial dengan orang ramai turut menitipkan doa dan sokongan moral kepada keluarga mangsa serta pasukan penyelamat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button