Solat Jumaat di Outreach Oasis Bukit Bintang bermula hari ini
KUALA LUMPUR – Umat Islam di sekitar Bukit Bintang kini boleh menunaikan solat Jumaat di Outreach Oasis Bukit Bintang bermula hari ini, selepas lokasi itu menerima kelulusan khas sebagai tempat solat Jumaat sementara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, kemudahan itu disediakan sehingga surau Jumaat kekal di kawasan berkenaan siap dibina.

“Sejarah bakal tercipta di Bukit Bintang esok (hari ini)! Atas izin Allah dan kelulusan khas, solat Jumaat kini boleh ditunaikan di Outreach Oasis Bukit Bintang buat sementara waktu sehingga surau Jumaat kekal siap dibina kelak.
“Selepas ini, tak perlu kelam-kabut nak kejar masa atau bersesak pergi jauh demi menunaikan kewajipan, Insya-Allah,” katanya.
Beliau turut mengajak umat Islam, khususnya mereka yang berada di sekitar Bukit Bintang, hadir menunaikan solat Jumaat di lokasi berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh syiar Islam.
“Jom, penuhkan saf tanda sokongan padu ummah untuk syiar Islam.
“Hari Jumaat hari penuh barakah! Kita rehatkan minda, bersihkan jiwa dan imarahkan solat Jumaat di Outreach Oasis Bukit Bintang esok (hari ini),” katanya.
Kerajaan sebelum ini menggerakkan usaha mewujudkan sebuah surau Jumaat yang lebih selesa dan kekal di kawasan Bukit Bintang bagi memudahkan umat Islam menunaikan ibadah di lokasi yang menjadi tumpuan pelancong dan pusat aktiviti perniagaan di ibu negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








