Tak hadir solat Jumaat sekali pun boleh didenda RM3,000
KUALA TERENGGANU – Lelaki Islam di negeri ini yang meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan munasabah boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, malah berdepan kedua-dua hukuman sekali gus.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, peruntukan itu selaras pindaan Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2016 yang mula dikuatkuasakan selepas digubal beberapa tahun lalu.
Menurutnya, sebelum pindaan dibuat, hanya individu yang tidak hadir solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut boleh dikenakan tindakan.
“Selepas pindaan, jika seseorang meninggalkan solat Jumaat sekali pun sudah boleh diambil tindakan.
“Peringatan ini penting kerana solat Jumaat bukan sekadar syiar, tetapi lambang ketaatan umat Islam.
“Hukuman hanya dikenakan sebagai jalan terakhir jika peringatan tidak diendahkan oleh mereka yang culas menunaikan kewajipan ini,” katanya memetik laporan BH online.
Beliau berkata, kain rentang peringatan akan dipasang di kawasan masjid seluruh negeri bagi memberi amaran jelas mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat.
“Penguatkuasaan boleh dilakukan melalui laporan orang awam atau rondaan serta operasi bersepadu oleh pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Seksyen ini sudah ada sejak undang-undang digubal pada tahun 2001, kemudian berlaku pindaan pada 2016 untuk memperkukuh pelaksanaannya,” katanya lagi.
Dr Muhammad Khalil turut menyeru umat Islam melihat pelaksanaan undang-undang itu sebagai usaha mendidik dan menjaga martabat agama Islam, khususnya dalam membentuk kesedaran generasi muda terhadap kewajipan solat Jumaat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















