Selangor FC didenda RM100,000, akan beraksi tanpa penonton
KUALA LUMPUR – Selangor FC akan beraksi tanpa penonton bagi dua perlawanan Piala FA serta membayar denda sebanyak RM100,000 selepas kelab itu disabitkan dengan lima pertuduhan susulan insiden ketika bertemu Negeri Sembilan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat khas pertama penggal 2025-2029 yang berlangsung semalam.
Menurutnya, empat pertuduhan melibatkan pelanggaran Artikel 70 Kod Tatatertib FAM, manakala satu lagi membabitkan pelanggaran Artikel 68 yang dibaca bersama Artikel 69 kod sama.
“Selangor FC diarahkan bermain tanpa penonton bagi dua aksi Piala FA iaitu separuh akhir kedua menentang Sabah FC pada 30 November ini serta satu lagi perlawanan di gelanggang sendiri pada musim berikutnya.
“Mereka turut dikenakan denda RM100,000 kerana kesalahan berulang mengikut Artikel 42. Amaran keras juga diberikan dan hukuman lebih berat boleh dikenakan sekiranya kesalahan sama berlaku lagi. Keputusan ini boleh dirayu,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas pertuduhan pertama, Baljit berkata, penyokong Selangor melakukan pembakaran mercun dengan dua letupan dipercayai dibaling ke arah penyokong Negeri Sembilan.
Bagi pertuduhan kedua, penyokong pasukan tuan rumah merosakkan bangku, melontarkannya serta membaling botol air hingga mencederakan dua penyokong lawan.
Pertuduhan ketiga pula membabitkan seorang VVIP Selangor yang didakwa membaling bekas minuman plastik berisi air dari tempat duduk kenamaan ke arah keluarga pemain Negeri Sembilan.
Selain itu, penyokong Selangor turut didakwa melakukan provokasi sehingga mencetuskan kekecohan antara kedua-dua kumpulan penyokong bagi pertuduhan keempat.
Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, Selangor FC didapati gagal mematuhi obligasi penganjuran termasuk aspek keselamatan sebelum, semasa dan selepas perlawanan seperti yang ditetapkan FIFA, AFC, FAM serta undang-undang nasional.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








