Reruai MRM dirampas: DBKL ambil tindakan penguatkuasaan selepas 30 minit tunggu tiada wakil tampil
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil tindakan penguatkuasaan di Jalan Bukit Bintang, berhampiran Bangunan Yayasan Selangor selepas tiada wakil pihak terlibat tampil memberikan penjelasan walaupun telah menunggu lebih 30 minit di lokasi.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu dilaksanakan susulan pemantauan yang mendapati berlaku pelanggaran peraturan melibatkan pemasangan khemah di atas laluan pejalan kaki, yang merupakan kawasan awam dan perlu bebas daripada sebarang halangan demi keselamatan serta kelancaran pergerakan orang ramai.
Menurut DBKL, pegawainya telah hadir ke lokasi semalam untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak terlibat namun, selepas menunggu lebih setengah jam, tiada wakil tampil untuk memberikan kerjasama atau penjelasan berhubung perkara tersebut.
“Sehubungan itu, DBKL telah mengambil tindakan menurunkan khemah serta memindahkan bahan-bahan berkaitan untuk tujuan simpanan selaras dengan peruntukan undang-undang dan peraturan kecil yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu hari ini.

DBKL turut menegaskan bahawa semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, berhemah dan berlandaskan undang-undang, bagi memastikan keselamatan awam, ketenteraman bandar serta kelancaran penggunaan ruang awam terus terpelihara.
Pada masa sama, DBKL menjelaskan pihaknya tidak pernah menghalang sebarang aktiviti dakwah di ruang awam, namun semua aktiviti perlu mematuhi proses dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, DBKL memaklumkan bahawa pihak pengurusan akan mengadakan pertemuan dengan Multiracial Reverted Muslims (MRM) dalam masa terdekat bagi mengadakan perbincangan konstruktif ke arah penyelesaian jangka panjang serta memastikan situasi sama tidak berulang pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








