JENAYAH & MAHKAMAH

Ops TEBAH: 2 pusat hiburan diarah tutup, 32 individu positif dadah

KUALA LUMPUR – Dua pusat hiburan sekitar Kepong dan Bukit Bintang diarahkan tutup serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa lesen dalam Operasi Tindakan Bersepadu (Ops TEBAH) KL Strike Force Siri 4/2025 yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama pelbagai agensi penguatkuasaan semalam.

Ops TEBAH: 2 pusat hiburan diarah tutup, 32 individu positif dadah
Foto – DBKL

Operasi yang melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu menyasarkan premis hiburan yang melanggar syarat lesen dan mengadakan aktiviti tanpa kebenaran.

DBKL berkata, sebanyak tiga premis diperiksa dalam operasi berkenaan dengan tindakan sitaan dilakukan terhadap pelbagai peralatan muzik.

Ops TEBAH: 2 pusat hiburan diarah tutup, 32 individu positif dadah
FOTO DBKL

“Sebanyak tiga notis kompaun turut dikeluarkan ke atas premis hiburan yang beroperasi tanpa lesen. Selain itu, dua premis hiburan telah diarahkan tutup serta-merta,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Sementara itu, pihak AADK menahan 32 individu terdiri daripada 27 lelaki dan lima wanita selepas ujian saringan air kencing mereka didapati positif bahan terlarang.

Ops TEBAH: 2 pusat hiburan diarah tutup, 32 individu positif dadah
FOTO DBKL

JAWI pula mengeluarkan 30 surat perintah hadir kepada 21 lelaki dan sembilan wanita untuk memberi keterangan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

DBKL menegaskan tindakan bersepadu ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti hiburan tanpa lesen atau pelanggaran syarat boleh menyalurkan aduan menerusi pautan: https://adukl.dbkl.gov.my/.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button