Abang Belon ada 13 rekod jenayah lampau
KUALA LUMPUR – Polis telah menyerahkan dua daripada tiga kertas siasatan berhubung insiden membabitkan seorang penjaja belon dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dua kertas siasatan tersebut dibuka mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan menyebabkan kecederaan parah secara sukarela.
“Satu lagi siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah masih menunggu maklum balas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung sebuah laman web yang dikaitkan dengan kes itu,” katanya dalam sidang media selepas operasi Cyber Guardian di Bukit Aman hari ini.
Menurut sumber, semakan mendapati suspek lelaki terbabit memiliki 13 rekod jenayah lampau, kebanyakannya berkaitan kesalahan dadah dan daripada jumlah itu, enam kes telah dibawa ke mahkamah.
Suspek kini masih menerima rawatan di hospital, manakala dua anggota penguat kuasa DBKL terlibat telah dikenakan tindakan dalaman oleh jabatan.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan pergelutan antara penjaja belon dan penguat kuasa DBKL di Jalan TAR, yang menarik perhatian orang ramai termasuk beberapa menteri.
DBKL menjelaskan, peniaga tersebut telah diberi teguran sebanyak tiga kali namun bertindak agresif dengan menolak anggota penguat kuasa yang melakukan rondaan rutin sekitar jam 11.50 malam.
Tambah DBKL, penjaja lain di lokasi sama telah memberi kerjasama dan beredar seperti diminta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








