Liputan telekomunikasi terjejas susulan kebakaran menara di Kuala Kangsar
CYBERJAYA – Liputan perkhidmatan telekomunikasi khususnya bagi pengguna CelcomDigi, Maxis dan Unifi Mobile di beberapa kawasan di Kuala Kangsar terjejas akibat kebakaran menara komunikasi di Kampung Kelebor, semalam.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), antara kawasan terjejas termasuk Kampung Kelebor, Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas dan Kampung Lempor.

“Turut terjejas, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang berdekatan dengan lokasi kejadian,” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, kata MCMC, pihaknya telah mengarahkan penyedia perkhidmatan berkaitan untuk melaksanakan tindakan pembetulan serta-merta, termasuk penyediaan pelan pemulihan menyeluruh bagi menangani gangguan liputan yang berlaku.
“Sebagai langkah kecemasan, MCMC telah melaksanakan penyelesaian sementara dengan mengaktifkan kemudahan WiFi satelit Starlink di R&R Sungai Perak (Arah Utara) PLUS bagi memastikan pengguna lebuh raya kekal mempunyai akses komunikasi,” kata kenyataan itu lagi.
MCMC turut memberitahu, punca kebakaran menara berkenaan masih dalam siasatan dan akses ke lokasi kejadian telah ditutup oleh pihak berkuasa bagi membolehkan pihak yang berkenaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan siasatan lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC turut mengarahkan semua pemilik menara dan penyedia perkhidmatan untuk memperketatkan penyelenggaraan, pemeriksaan teknikal dan pemantauan berterusan di semua menara, selaras dengan keperluan kebolehpercayaan rangkaian dan keselamatan pengguna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








