BERITA SEMASA

DBKL komited ke arah bandaraya cerdas, mampan dan inklusif

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan iltizam membentuk masa depan bandar yang lestari dan inklusif dengan menyertai Smart Housing, Sustainable Property & Innovative Cities Forum 2025 yang berlangsung di Hotel Berjaya Times Square, baru-baru ini.

Forum berprestij itu menghimpunkan pemimpin bandar, penggubal dasar, pakar hartanah dan pemain industri dari pelbagai sektor untuk membincangkan pembangunan bandar secara holistik dalam mendepani cabaran masa depan.

Pengarah Jabatan Infrastruktur DBKL, Siti Hanim Abd Rahman berkata, Kuala Lumpur komited melaksanakan transformasi bandar menerusi pendekatan berasaskan inovasi, kecerdasan data dan keterangkuman sosial selaras dengan aspirasi Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040).

Siti Hanim bersama barisan peserta forum yang terdiri daripada pemimpin bandar, penggubal dasar, pakar hartanah dan pemain industri dari pelbagai sektor.

“Menerusi pelaksanaan 15 Program Perdana, DBKL sedang giat melaksanakan transformasi bandar merangkumi tindakan iklim, pendigitalan, pembaharuan perumahan, sistem mobiliti pintar serta pemerkasaan komuniti.

“Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah pelancaran Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur ke Arah Sifar Sisa 2040, pelaksanaan Low Carbon Society Blueprint 2030, serta penggunaan teknologi tenaga bersih seperti pemasangan panel solar dan sistem pendinginan berpusat di bangunan-bangunan DBKL.

BACA : DBKL anjur Hari Terbuka pindaan PTKL2040, komited rancang bandar mampan

“Selain itu, DBKL juga memperluas penggunaan bas elektrik GOKL dan kini sedang meneliti pelaksanaan sistem congestion charging sebagai langkah mengurangkan pelepasan karbon daripada kenderaan persendirian,” katanya.

Tambah beliau, DBKL turut memperkenalkan Program Perumahan MADANI untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menggiatkan semula pusat komuniti dan premis perniagaan kecil bagi menyokong ekonomi mikro dan memelihara warisan budaya ibu kota.

“Selaras dengan peranan sebagai tuan rumah ASEAN 2025, Kuala Lumpur kini bersedia menggalas tanggungjawab menganjurkan program serantau berimpak tinggi seperti ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF) dan Mesyuarat Gabenor & Datuk Bandar Ibu Negara ASEAN (MGMAC).

“DBKL turut memperkukuh tadbir urus kolaboratif menerusi penubuhan Jawatankuasa SPEAD yang menghimpunkan perancang bandar, jurutera, arkitek, pakar landskap dan pemaju dalam satu platform strategik bagi mempercepat penyampaian perkhidmatan dan memastikan pembangunan bandar berlaku secara bersepadu dan mampan,” tegasnya.

Penyertaan dalam forum tersebut membuktikan komitmen berterusan DBKL untuk menjadikan Kuala Lumpur bukan sahaja sebuah bandar boleh didiami (liveable), malah disayangi (loveable), sebuah kota yang menyediakan ruang dan peluang saksama untuk semua warganya membentuk masa depan bersama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button