DBKL siasat dakwaan kebocoran maklumat pengadu
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan seorang penduduk bahawa maklumat peribadinya telah didedahkan kepada pihak pemaju selepas dia mengemukakan aduan berkaitan pencemaran habuk daripada sebuah tapak pembinaan.
DBKL berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan sedang meneliti perkara berkenaan bagi mendapatkan fakta lengkap, termasuk menyemak proses pengendalian aduan serta pematuhan terhadap prosedur yang ditetapkan.
Menurut DBKL, kerahsiaan pengadu merupakan aspek penting dalam memastikan keyakinan orang ramai terhadap sistem aduan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan itu.
“Perkara ini sedang diteliti bagi memastikan semua fakta diperoleh sepenuhnya termasuk menilai proses pengendalian aduan serta pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan,” memetik NST online.
DBKL turut berkata, aduan asal berhubung pencemaran habuk tersebut sedang dinilai semula bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil di lapangan.
Menurut kenyataan itu, pihaknya mengalu-alukan kerjasama lanjut daripada pengadu bagi membantu siasatan dan memberi jaminan bahawa sistem aduan rasmi yang dikendalikan kekal selamat serta boleh dipercayai.
Terdahulu, dakwaan berkenaan tular di media sosial selepas seorang pengguna Threads, Hasronzz, mendakwa nombor telefon peribadinya telah diberikan kepada pihak pemaju selepas beliau membuat aduan menerusi sistem ADU@KL mengenai pencemaran habuk daripada tapak pembinaan berhampiran kediamannya.
Menurutnya, dia menerima mesej WhatsApp daripada wakil projek pembinaan berkenaan walaupun menjangkakan maklum balas rasmi daripada DBKL berhubung aduan yang dikemukakan.
Hasronzz turut mendakwa tiada tindakan susulan diambil dan status aduannya dalam sistem telah ditandakan sebagai selesai tanpa sebarang penjelasan.
Bagi menyokong dakwaannya, beliau memuat naik tangkap layar respons automatik sistem DBKL serta mesej WhatsApp yang diterima daripada individu yang dikaitkan dengan projek pembinaan tersebut.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh ketika diminta mengulas isu berkenaan berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada DBKL untuk melengkapkan siasatan terlebih dahulu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















