
DBKL anjur Hari Terbuka pindaan PTKL2040, komited rancang bandar mampan
KUALA LUMPUR — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited dalam merancang pembangunan bandar secara sistematik dan berpandukan pelan, selaras dengan pendekatan “plan-led” menerusi pelaksanaan program flagship.
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif, Hari Terbuka Pindaan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) dianjurkan sebagai platform interaktif untuk orang awam dan pihak berkepentingan bagi memahami hala tuju pembangunan Kuala Lumpur.
“Hari Terbuka ini bertujuan memaklumkan proses pertimbangan permohonan perancangan yang dibuat secara menyeluruh, berpandukan dasar yang ditetapkan.
“Ia sejajar dengan matlamat mewujudkan bandar yang mampan, berdaya tahan, inklusif dan disayangi semua,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Ujarnya, inisiatif itu mencerminkan komitmen DBKL terhadap ketelusan dan keterangkuman dalam amalan perancangan bandar.
“Ia memberi peluang kepada warga kota dan pihak berkepentingan untuk meneliti pindaan terhadap Draf PTKL2040 sebelum diwartakan,” katanya.
Draf PTKL2040 disediakan sejak 2019 berpandukan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267), dan akan menggantikan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020. Ia turut menterjemahkan dasar-dasar utama yang digariskan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) yang telah diwartakan pada 19 Oktober 2023.
Maimunah berkata, sepanjang tempoh publisiti dari Januari hingga April 2024, DBKL menerima lebih 28,000 pandangan daripada masyarakat dan pihak berkepentingan.
“Sebanyak 480 sesi pendengaran telah diadakan oleh Jawatankuasa Pendengaran Pandangan Awam (JKPPA) bagi meneliti setiap pandangan secara telus,” katanya lagi.
Orang ramai dijemput hadir ke Hari Terbuka PTKL2040 yang akan berlangsung pada 7 hingga 9 Mei 2025 di Lobi Menara DBKL 1, dari pukul 9.30 pagi hingga 4.30 petang.
“Ayuh bersama membentuk masa depan Kuala Lumpur sebagai bandar untuk semua, mampan, berdaya huni dan progresif,” ujarnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |