BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pengurusan hal ehwal agama diperkasa dengan AI – Zulkifli

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan memperkukuhkan gerak kerja pengurusan dan pentadbiran dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan serta kualiti membuat keputusan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan strategik bersama warga kementerian, hari ini.

Menurut beliau, antara kelebihan utama penggunaan AI dalam pengurusan ialah keupayaannya menganalisis data berskala besar dan kompleks secara pantas, sekali gus membantu menghasilkan cadangan yang lebih tepat serta berasaskan bukti.

“AI boleh dimanfaatkan selagi niat, kaedah penggunaan dan kesannya selari dengan prinsip Islam seperti amanah, keadilan dan tanggungjawab,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dr. Zulkifli berkata, penggunaan teknologi itu juga selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan kecekapan, integriti dan nilai ihsan dalam perkhidmatan awam.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk memastikan pembangunan dan aplikasi AI dalam pengurusan hal ehwal agama dilaksanakan secara beretika, berimbang dan berteraskan nilai Islam.

“Nampak semua bersemangat. Kerajaan MADANI akan terus bekerja dan berlumba-lumba melakukan kebaikan.

“Islam akan terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button