BISNES & EKONOMI

CloudMile, Tookitaki meterai MoU perkukuh keupayaan cegah jenayah kewangan berteraskan AI

KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) dan simpanan awan, CloudMile, baru-baru ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat pencegahan pengubahan wang haram (AML) dan penipuan transaksi, Tookitaki.

Kerjasama itu bertujuan membantu institusi kewangan menangani jenayah kewangan masa nyata yang semakin kompleks dengan menggabungkan teknologi pengesanan AI Tookitaki bersama kepakaran CloudMile dalam seni bina simpanan awan yang selamat, pelaksanaan AI dan penyepaduan sistem bagi sektor yang dikawal selia.

Menurut kedua-dua syarikat berkenaan dalam satu kenyataan bersama, peningkatan penggunaan perbankan digital dan rangkaian pembayaran segera seperti DuitNow menyebabkan penipuan kewangan kini boleh berlaku dalam tempoh beberapa milisaat, sekali gus menjadikan akaun keldai dan rangkaian penipuan antara cabaran utama yang dihadapi institusi kewangan.

Mereka berkata, sistem pengesanan tradisional berasaskan peraturan semakin sukar mengekang ancaman baharu dan menghasilkan terlalu banyak amaran palsu, sekali gus mendorong keperluan kepada penyelesaian masa nyata berteraskan AI yang mampu mengesan penipuan merentas pelbagai saluran sebelum kerugian berlaku.

Di bawah kerjasama itu, CloudMile akan membangunkan dan melaksanakan seni bina awan yang selamat bagi menyokong penggunaan platform pengesanan jenayah kewangan FinCense milik Tookitaki.

Platform itu memanfaatkan teknologi Collaborative Intelligence dan Explainable AI bagi membantu institusi kewangan mengenal pasti corak penipuan baharu, mengurangkan amaran palsu serta meningkatkan kecekapan pengesanan.

CloudMile dan Tookitaki berkata, mereka akan bekerjasama membangunkan penyelesaian bersama, melaksanakan inisiatif pemasaran serta berkongsi kepakaran bagi membantu institusi kewangan Malaysia memperkukuh pertahanan terhadap jenayah kewangan sambil memenuhi keperluan kawal selia berkaitan keselamatan, daya tahan dan tadbir urus operasi.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tookitaki, Abhishek Chatterjee berkata, jenayah kewangan melibatkan rangkaian yang merentasi institusi, justeru pendekatan kolaboratif diperlukan bagi membolehkan institusi kewangan menyesuaikan kawalan keselamatan mengikut evolusi ancaman dan bukan sekadar bertindak balas selepas insiden berlaku.

Bagi meraikan kerjasama itu, kedua-dua syarikat akan menganjurkan taklimat eksekutif khas di Kuala Lumpur untuk barisan kepimpinan industri perkhidmatan kewangan, yang akan memberi tumpuan kepada penggunaan AI dalam pengesanan penipuan masa nyata, seni bina awan selamat serta pematuhan terhadap keperluan kawal selia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button