BERITA SEMASA

Tun Mahathir terharu doa tidak putus-putus buat Tun Hasmah

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa terharu atas doa yang terus dipanjatkan orang ramai buat isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang meninggal dunia pada 28 September lalu pada usia 100 tahun.

“Bagi pihak kesemua ahli keluarga, saya nak ambil kesempatan untuk ucap berbanyak terima kasih kepada semua yang membantu menyempurnakan urusan pengebumian Hasmah tempoh hari.

“Selain itu, saya amat terharu kerana doa yang tidak putus-putus dipanjangkan kepada isteri saya Hasmah sehingga sekarang, sama ada di pusara mahupun dari mana-mana sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, kehilangan itu mengingatkannya supaya terus bersyukur kepada Allah SWT kerana dikurniakan kesempatan untuk hidup bersama Siti Hasmah dalam tempoh yang begitu panjang.

“Ia mengingatkan saya, di dalam kesedihan yang begitu memedihkan, supaya saya terus bersyukur kepada Allah SWT kerana telah meminjamkan Hasmah sebegitu lama sehingga ke usia saya yang cuma masih tersisa sedikit sebanyak ini,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Dr Mahathir turut memaklumkan bahawa beliau sudah cuba kembali ke pejabat sejak sehari dua lalu, namun keadaan fizikalnya masih belum begitu kuat.

“Sehari dua ini saya cuba ke pejabat tetapi upaya masih belum begitu kuat.

“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk meminta maaf jika sepanjang tempoh ini ada salam yang tidak saya sambut, lambaian yang tidak saya balas serta ucapan takziah yang belum saya jawab,” katanya.

Terdahulu, selepas pemergian isterinya, Dr Mahathir menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) susulan keadaan kesihatannya yang agak terjejas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button