139 laporan polis dibuat, Dr Mahathir dakwa ART ditandatangani tanpa prosedur sah
PUTRAJAYA – Lebih 139 laporan polis telah dibuat di seluruh negara oleh individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung dakwaan ketidakpatuhan prosedur dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini turut tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan tindakan menandatangani ART tanpa mandat dan kelulusan yang sepatutnya.
“Saya sudah buat laporan polis supaya siasatan dijalankan terhadap Anwar.
“Perjanjian itu tidak sah kerana beliau (Anwar) bukan seorang sahaja yang mewakili Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan berkenaan.
Dr Mahathir berkata, ART sepatutnya melalui persetujuan empat komponen penting negara iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat, Majlis Raja-Raja serta badan eksekutif.
“Persetujuan empat bahagian itu tidak dilakukan, maka ia satu kesalahan,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, perjanjian itu merangkumi sekitar 400 muka surat namun tidak pernah didedahkan kepada umum.
“Terdapat klausa yang menyebut kuasa negara kita sudah diserah kepada AS di mana setiap tindakan mesti dirujuk kepada mereka dan AS pula yang menentukan sama ada boleh atau tidak,” katanya lagi.
Menurut Dr Mahathir, perjanjian itu tidak menyebut secara jelas kedudukan Bumiputera namun implikasinya didakwa besar terhadap dasar sedia ada.
“Keistimewaan Bumiputera tidak boleh dikenakan kepada barangan atau dagangan AS.
“Ini menjadikan apa jua layanan kepada Bumiputera mesti turut diberikan kepada AS, seolah-olah AS mendapat status Bumiputera,” katanya lagi.
ART yang dimeterai antara Anwar dan Presiden AS, Donald Trump pada 26 Oktober lalu bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi, termasuk pelarasan tarif dan kerjasama perdagangan dua hala.
Namun, perjanjian itu menjadi kontroversi berikutan dakwaan ia membawa risiko kepada dasar negara serta kepentingan Bumiputera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








