Lelaki bergelar Datuk didenda RM50,000 benar pembiakan lalat di dua ladang ayam
PARIT BUNTAR – Seorang pemegang lesen ladang ayam bergelar Datuk didenda keseluruhan RM50,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membenarkan pembiakan lalat di premis penternakan ayam miliknya di daerah Kerian.
Majistret Salwa Asmary Abdul Rahim menjatuhkan hukuman denda RM25,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Datuk Siah Gim Eng, 67.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membenarkan pembiakan lalat di sebuah ladang ayam di Gunung Semanggol pada 16 Julai lalu, memetik laporan Kosmo! Online.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah ladang ayam di Jalan Changkat Lobak pada tarikh berkenaan.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(1) Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 17(2) enakmen sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan oleh sepasukan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak di ladang pertama mendapati kadar infestasi lalat mencecah 27.6, jauh melebihi had ditetapkan jabatan itu, iaitu 14.
Ketika pemeriksaan dijalankan, ladang berkenaan menempatkan kira-kira 88,000 ayam pedaging berusia sekitar 30 hari di dalam 14 reban terbuka.
Pemeriksaan di ladang kedua pula merekodkan kadar infestasi lalat sebanyak 23.2, dengan kira-kira 190,000 ayam pedaging berusia sekitar 28 hari diternak di dalam 14 reban terbuka.
Bagi mengesahkan jenis serangga yang ditemui, tiga sampel larva diambil dari setiap ladang sebelum dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh untuk analisis.
Keputusan makmal mengesahkan sampel berkenaan ialah Muscidae spp iaitu lalat rumah atau lalat kandang.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPV Perak, Roziman Awang Tahrin yang memohon hukuman tegas berdasarkan fakta kes serta rekod tindakan terdahulu terhadap tertuduh.
Menurut pihak pendakwaan, tertuduh sebelum ini pernah dikenakan dua kompaun berjumlah RM15,000 bagi kesalahan berkaitan pembiakan lalat di setiap lokasi berkenaan dan telah menjelaskan kesemua kompaun itu.
Pendakwaan turut menegaskan hukuman sewajarnya perlu dikenakan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh, mencegah kesalahan sama daripada berulang serta melindungi kesihatan awam dan kebersihan persekitaran.
Tertuduh kemudian menjelaskan denda keseluruhan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








