Bimbang keselamatan terancam, datuk nekad lapor cucu terlibat dadah
SUNGAI PETANI – Demi keselamatan diri dan isteri, seorang warga emas mengakui nekad membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya cucunya yang terlibat dengan penagihan dadah ditahan.
Md Akhir Hanafiah, 75, berkata, keputusan itu dibuat dengan rasa berat hati kerana rasa sayang dan tanggungjawab terhadap cucu yang dibesarkan sejak kecil malah dianggap seperti anak sendiri.
Menurutnya, beliau sudah lama bersabar dengan kerenah cucunya yang sudah berulang kali keluar masuk penjara dan pusat pemulihan.
“Walaupun sudah banyak kali ditahan, keluar masuk penjara dan pusat pemulihan, saya tetap menerimanya. Namun apabila dia mula berhalusinasi dan bercakap seorang diri, saya mula bimbang keselamatan kami,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai, di sini, semalam.
Sehubungan itu, Md Akhir berkata, beliau terpaksa menghubungi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya.
“Saya buat laporan supaya dia ditahan dan menjalani hukuman lebih lama. Sekurang-kurangnya dia selamat, dan kami juga tidak hidup dalam ketakutan,” katanya.
Md Akhir berkata, cucunya yang berusia 29 tahun itu mula tinggal bersama mereka sejak masih bersekolah dan ditahan buat kali pertama beberapa tahun lalu di Gurun.
Sejak itu, lelaki berkenaan pernah dihukum penjara sebanyak empat kali dan menjalani rawatan pemulihan dua kali di pusat pemulihan di Karangan, Kulim serta Gambang, Pahang.

Namun ketagihan dadah, katanya, menyebabkan cucunya kerap mencuri dan menjual barangan di dalam rumah bagi mendapatkan wang membeli dadah.
“Sebelum dia dibawa pihak berkuasa, saya sempat menasihatinya supaya berubah, tetapi dia hanya mendiamkan diri,” ujarnya.
Terdahulu, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehudin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berkenan berangkat melawat Md Akhir dan isterinya, Raihani Ismail, 75, bagi menzahirkan rasa simpati serta memberikan sokongan moral.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan dan Ketua AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak.
Kelmarin, kes berkenaan tular di media sosial selepas AADK Kuala Muda berkongsi maklumat di Facebook mengenai tindakan seorang datuk yang terpaksa meminta bantuan pihak berkuasa demi menyelamatkan cucunya daripada terus hanyut dalam kancah penagihan dadah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








