Kes rogol cucu: Tempoh reman pesara 67 tahun dilanjutkan empat hari
BATU PAHAT – Mahkamah Majistret hari ini membenarkan permohonan polis untuk menyambung tempoh reman selama empat hari lagi terhadap seorang pesara warga emas bagi membantu siasatan kes rogol cucu perempuannya yang berusia 13 tahun.
Majistret Nurasidah A. Rahman membenarkan permohonan reman terhadap suspek berusia 67 tahun itu bermula esok sehingga Jumaat ini bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Rabu lalu, mahkamah membenarkan tertuduh direman enam hari selepas ditahan susulan pendedahan cucunya yang mendakwa dirogol dengan kejadian terakhir berlaku pada Disember lalu.
Pendedahan itu dibuat selepas ibu mangsa memeriksa mesej dihantar kepada teman lelaki sebelum bertanyakan hubungannya.
Walau bagaimanapun, wanita terbabit terkejut apabila mangsa mendedahkan bahawa dia dirogol oleh datuknya sendiri sepanjang tinggal bersama di sebuah rumah dalam daerah ini.
Siasatan polis mendapati, mangsa tinggal bersama datuknya selepas ibu bapanya bercerai.
Bagaimanapun, pada April lalu ibu mangsa membawanya pulang ke kampung halaman di sebuah negeri di utara tanah air.
Susulan laporan dibuat, polis menahan suspek bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit.
Pada masa sama, video pengakuan dibuat suspek tular pada hari sama direman.
Video itu dipercayai dirakam ibu mangsa selepas kejadian itu terbongkar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






