JENAYAH & MAHKAMAH

Gadis 19 tahun dakwa dirogol jiran selepas minta bantu baiki telefon

TAWAU – Seorang gadis berusia 19 tahun mendakwa dirogol jirannya selepas membenarkan lelaki itu masuk ke rumahnya untuk membantu membaiki telefon bimbit, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu selepas mendakwa dicabul suspek yang dikenalinya dan tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR), di sini.

Menurutnya, suspek, lelaki tempatan berusia 26 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting rambut, ditahan pada pukul 10 malam Khamis lalu.

“Suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di kediamannya.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 10 malam selepas mangsa membenarkan suspek masuk ke kediamannya untuk membantu membaiki telefon bimbit miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, suspek kemudian dipercayai membawa mangsa ke sebuah bilik sebelum melakukan perbuatan berkenaan.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 25 September ini selepas Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membenarkan permohonan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button