Ketua peguam tentera Israel letak jawatan selepas dedah bukti rogol tahanan Palestin
TEL AVIV – Ketua peguam tentera Israel, Mejar Jeneral Yifat Tomer-Yerushalmi meletak jawatan selepas mengakui bertanggungjawab terhadap kebocoran rakaman video yang didakwa menunjukkan askar Israel merogol seorang tahanan Palestin di kem tahanan Sde Teiman, tahun lalu.
Tomer-Yerushalmi yang sebelum ini bercuti sementara susulan siasatan polis berhubung kebocoran video berkenaan merupakan Peguam Negara Tentera (Military Advocate General) Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
Menurut laporan media tempatan, lima askar simpanan telah dituduh atas kesalahan mencederakan dan mendera tahanan terbabit secara serius.
Dalam surat peletakan jawatannya, Tomer-Yerushalmi berkata, beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang bahan yang dibocorkan kepada media daripada unit tentera terbabit, memetik laporan BBC semalam.
“Saya meluluskan pelepasan bahan kepada media bagi menangkis propaganda palsu terhadap pihak penguatkuasaan undang-undang tentera,” katanya merujuk kepada dakwaan sesetengah ahli politik sayap kanan Israel yang menuduh laporan penyeksaan terhadap tahanan sebagai rekaan semata-mata.
Tomer-Yerushalmi turut menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab tentera untuk menjalankan siasatan setiap kali wujud syak munasabah berhubung keganasan terhadap tahanan.
Peletakan jawatan beliau diterima oleh Ketua Turus IDF dan disambut baik oleh Menteri Pertahanan, Israel Katz.
“Mana-mana individu yang menyebarkan fitnah terhadap anggota IDF tidak layak memakai seragam tentera,” kata Katz dalam kenyataan susulan.
Rakaman video berkenaan yang disiarkan oleh saluran berita Channel 12 pada Ogos 2024, menunjukkan sekumpulan askar di kem tahanan Sde Teiman membawa seorang tahanan ke tepi sebelum menutup pandangan menggunakan perisai rusuhan dan menikam bahagian sulit mangsa dengan objek tajam.
Mangsa kemudiannya menerima rawatan akibat kecederaan parah.
Insiden itu mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi manusia selepas ia dilihat sebagai bukti kukuh terhadap laporan penderaan tahanan Palestin yang ditahan sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Namun, kumpulan politik sayap kanan di Israel mengecam kebocoran video tersebut, mendakwa ia cubaan mencemar imej tentera Israel.
Sebelum ini, laporan Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa ribuan tahanan, termasuk kanak-kanak dari Gaza, menjadi mangsa penderaan fizikal, psikologi serta keganasan seksual yang disifatkan sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Kerajaan Israel bagaimanapun menolak dakwaan berkenaan dan menegaskan pihaknya sentiasa mematuhi undang-undang antarabangsa serta telah menjalankan siasatan terhadap setiap aduan yang diterima.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








