Pusat Jantung HSIS kendali 69 kes intervensi kardiologi sehari
KUALA LUMPUR – Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, Selangor mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya mengendalikan 69 kes intervensi kardiologi dalam tempoh sehari, Jumaat lalu.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan berkata, jumlah itu mewakili 45 peratus daripada keseluruhan kes intervensi kardiak yang dikendalikan 10 pusat jantung di bawah kementerian berkenaan.
Menurutnya, operasi rawatan di pusat berkenaan biasanya bermula dari pukul 8 pagi hingga 6 petang dengan kesemua tujuh makmal kateterisasi jantung (Cath Lab) beroperasi sepenuhnya.
“Selepas tamat waktu pejabat, empat Cath Lab lagi terus beroperasi sehingga lewat malam bagi menyelesaikan baki kes yang masih menunggu rawatan,” katanya dalam kenyataan semalam.
KKM berkata, operasi berintensiti tinggi itu melibatkan 80 petugas kesihatan, terdiri daripada 14 pakar kardiologi, enam pegawai perubatan, 10 juru X-ray, lapan penolong pegawai perubatan serta 40 jururawat dan pembantu perawatan kesihatan.
Daripada 69 kes yang dikendalikan, 40 merupakan kes elektif manakala 29 lagi adalah kes kecemasan.
Katanya, jumlah berkenaan turut merangkumi empat prosedur Primary Percutaneous Coronary Intervention (Primary PCI) yang memerlukan tindakan pantas bagi menyelamatkan nyawa pesakit yang mengalami serangan jantung.
“Pusat ini turut membuktikan kepakaran dalam mengendalikan kes koronari kompleks apabila 13 kes berjaya dilakukan menggunakan teknologi pengimejan intravaskular (IVUS) bagi membantu rawatan yang lebih tepat dan selamat,” katanya.
Antara prosedur berteknologi tinggi yang berjaya dijalankan termasuk empat kes RotaPro Rotational Atherectomy dan tiga kes Intravascular Lithotripsy.
Menurut KKM, kedua-dua prosedur itu merupakan rawatan khusus bagi pesakit yang mengalami saluran darah jantung yang sukar dirawat menggunakan kaedah konvensional.
Dalam pada itu, KKM merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengiktirafan Pusat Jantung HSIS sebagai Pusat Kecemerlangan Kardiak (COE) KKM.
Menurutnya, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen, kecekapan dan semangat kerja berpasukan seluruh warga kardiologi HSIS, Serdang dalam memastikan pesakit menerima rawatan jantung berkualiti tinggi dengan cepat, selamat dan berkesan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

