Denda RM50 juta: Najib tidak mahu sesiapa pun terbeban untuk membantu
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mahu parti, ahli, penyokongnya serta orang ramai berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan untuk membantu beliau memenuhi syarat pembayaran denda RM50 juta seperti ditetapkan di bawah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Peguambela dan peguamcara Najib, Tetuan Shafee & Co dalam kenyataannya memaklumkan, anak guamnya (Najib) amat terharu dengan limpahan solidariti dan tawaran bantuan yang diterima untuk membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
“Anak guam kami amat terharu dengan ungkapan solidariti ini, tapi beliau tidak mahu sesiapapun, tidak kiralah parti, ahli-ahli dan penyokongnya, mahupun orang ramai, berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan atas nama beliau,” menurut kenyataan di media sosial hari ini.
Bagaimanapun menurut kenyataan itu, Najib merakamkan penghargaan kepada mereka yang atas kerelaan sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing memilih untuk menghulurkan sokongan serta bantuan.
Dalam pada itu, Najib menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas perkenan Seri Paduka Baginda melaksanakan kuasa prerogatif pengampunan diraja dengan memperkenankan pengampunan bersyarat terhadapnya.
Najib menerima keputusan itu dengan penuh kesyukuran dan kerendahan hati, selain merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan atas pertimbangan terhadap permohonannya.
Bagaimanapun, sehingga denda berkenaan dibayar kepada mahkamah, Najib kekal berada di Penjara Kajang, manakala beliau bersama pasukan peguam kini meneliti syarat-syarat tersebut serta implikasi praktikalnya.
Berhubung syarat pembayaran denda RM50 juta, kenyataan itu menjelaskan sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta tindakan penguatkuasaan kerajaan.
“Pelupusan aset berkenaan ketika ini tidak berada sepenuhnya dalam kawalan Najib, menyebabkan keupayaannya memenuhi syarat tersebut sebahagiannya bergantung kepada perkara di luar kawalannya,” katanya.
Sehubungan itu, Najib kini mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan yang ada bagi menentukan cara terbaik untuk memenuhi syarat berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO serta kepimpinan dan ahli UMNO dan Barisan Nasional di semua peringkat yang terus memberikan sokongan kepadanya.
Najib juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang tampil menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat ditetapkan, selain mengakui amat bersyukur dan terharu dengan sokongan yang diterima.
Pengampunan berkenaan membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah, tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








