JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita warga China dipenjara sebulan, denda RM2,000 kerana cederakan pegawai imigresen di KLIA

SEPANG – Seorang wanita warga China dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini

Tertuduh Fang Fu Yuan, mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang pegawai imigresen ketika pemeriksaan perlepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Khamis lalu.

Majistret Khairul Animah Jelaini menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, selepas dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mencederakan penjawat awam ketika menjalankan tugas.

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh akan berdepan hukuman tambahan dua bulan penjara.

Dalam prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Luvithaa Veerasan mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam bela Tai Ying Fung dan Jason Anthony.

Peguam bela memohon hukuman diringankan dengan alasan tertuduh merupakan ibu kepada dua anak kecil yang masih memerlukan penjagaan, telah direman lima hari, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah serta kejadian itu berlaku kerana masalah komunikasi memandangkan tertuduh hanya memahami bahasa Mandarin.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku kira-kira jam 7.40 malam ketika tertuduh hadir bersama seorang lelaki dan dua kanak-kanak untuk pemeriksaan imigresen.

Pegawai bertugas mendapati tiada rekod pergerakan masuk lalu merujuk kes itu kepada penyelia.

Tertuduh bagaimanapun tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat.

Dia kemudian bertindak memaki hamun pegawai dengan kata-kata kesat, menarik tudung pegawai serta menolak kepala mangsa ke arah tiang di hadapan kaunter.

Pergelutan kecil berlaku sehingga memaksa Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dipanggil bagi mengawal keadaan.

Akibat insiden itu, pegawai terbabit mengalami bengkak pada mata kiri, sakit kepala dan lenguh badan sebelum dirujuk ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan.

Kes itu pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 186, 332 dan 353 Kanun Keseksaan, namun tertuduh memilih untuk mengaku salah atas pertuduhan di bawah Seksyen 332.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button