Generasi Keadilan mahu reformasi terus dirasai rakyat
MELAKA – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Generasi Keadilan menyeru seluruh anggota parti memperkukuh kesatuan serta memastikan agenda rreformasi diterjemahkan kepada perubahan yang benar-benar dirasai rakyat.
Pengerusinya, Yusmadi Yusoff berkata, perkara itu antara tiga tekad yang dibawa Generasi Keadilan sempena Sidang Generasi Keadilan 2026 di Melaka yang akan berlangsung esok.
Menurutnya, sidang yang berlangsung sempena Kongres Nasional PKR 2026 itu membawa tema ‘Tekad Reformasi, Amanat Generasi’.
“Generasi Keadilan membawa tiga tekad dari Melaka iaitu membawa Reformasi kepada rakyat melalui khidmat, pendengaran dan penyelesaian masalah.
“Kedua, menyatukan pengalaman veteran, tenaga anak muda, kekuatan wanita serta aspirasi Sabah dan Sarawak dan ketiga, memastikan kuasa terus dilaksanakan sebagai amanah, bukan keistimewaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yusmadi berkata, kejayaan membawa seorang reformis ke Putrajaya merupakan pencapaian bersejarah, namun perjuangan reformasi tidak boleh berhenti setakat kemenangan politik.
“Reformasi perlu diterjemahkan kepada perubahan yang dapat dirasai petani, peneroka FELDA, pekerja, anak muda, mahasiswa, golongan orang kurang upaya (OKU), rakyat Sabah dan Sarawak serta keluarga biasa.
“Kita telah membawa seorang reformis ke Putrajaya. Kini, kita mesti membawa reformasi kepada rakyat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Generasi Keadilan merakamkan penghargaan kepada Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kegigihan memimpin Kerajaan MADANI, membela kepentingan rakyat dan mengangkat martabat Malaysia di persada antarabangsa.
Yusmadi berkata, perjalanan Anwar daripada tahanan politik kepada Perdana Menteri bukan sekadar kisah kebangkitan seorang pemimpin, sebaliknya mencerminkan ketabahan keluarga, kesetiaan sebuah gerakan serta harapan rakyat terhadap perubahan.
“Di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia bukan sekadar hadir di pentas dunia. Malaysia kembali mempunyai suara,” katanya lagi.
Beliau berkata, sokongan yang jujur perlu disertai keberanian menyampaikan suara rakyat secara beradab dan bertanggungjawab.
“Kesetiaan kepada pemimpin bukan sekadar keberanian mempertahankannya ketika diserang, tetapi juga keberanian menyampaikan kebenaran sebelum terlambat,” katanya lagi.
Tambahnya, Generasi Keadilan bukan kumpulan untuk mengejar jawatan atau membentuk kem baharu dalam parti, sebaliknya mahu menjadi jambatan antara sejarah perjuangan dengan masa depan reformasi, kepimpinan dengan akar umbi serta kerajaan dengan denyut nadi rakyat.
“Pejuang lama tidak meminta pengorbanan mereka dibalas dengan jawatan. Mereka mahu reformasi disempurnakan.
“PKR tidak ditubuhkan hanya untuk memenangi pilihan raya, tetapi untuk memperbaiki cara kuasa digunakan,” katanya lagi.
Menurut Yusmadi, ujian sebenar reformasi bukan ketika perjuangan menuntut kuasa, tetapi apabila kuasa sudah diberikan.
“Reformasi bukan perlumbaan antara generasi. Reformasi ialah amanat yang diserahkan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








