NGO disaran agih makanan di pusat gelandangan, elak pembaziran
DI tengah-tengah kesibukan kota yang tidak pernah tidur, ada segelintir manusia yang menjalani kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.
Mereka bukan sekadar berjuang untuk bertahan hidup, tetapi juga menghadapi stigma dan cabaran yang tidak mudah.
Isu gelandangan bukan sekadar soal tempat berteduh, tetapi juga bagaimana bantuan yang disalurkan dapat memberi impak yang lebih efektif dan teratur.

Setiap kali Ramadan menjelang, usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu prihatin dalam mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan semakin giat dijalankan.
Namun, beberapa pihak berpandangan bahawa kaedah pengagihan makanan ini memerlukan sistem yang lebih tersusun agar manfaatnya dapat dimaksimumkan.
Cadangan dan suara masyarakat
Menurut Aznan Abidin dari Sepang, Selangor, pengagihan makanan di jalanan sering kali menyebabkan masalah sampah yang bertaburan, memberikan imej kurang baik kepada pelancong serta membebankan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Salah satu cabaran utama dalam pengagihan makanan secara terbuka di jalanan adalah isu sampah yang berlonggokan.
“Setiap kali makanan diagihkan, gelandangan akan makan di tempat yang mereka berada dan meninggalkan sisa makanan di merata-rata tempat, sekali gus menimbulkan imej kurang baik kepada pelancong asing dan menambah beban kerja kepada PBT,” katanya.
Sebagai solusi, beliau mencadangkan agar agihan makanan dilakukan di satu pusat sehenti atau one stop centre.
“Dengan sistem ini, gelandangan tidak perlu berkeliaran untuk mencari makanan, sebaliknya mereka tahu ke mana hendak pergi setiap kali tiba waktu makan.

“PBT juga perlu mengeluarkan arahan rasmi supaya NGO yang ingin menyumbang makanan dapat mematuhi satu sistem yang lebih tersusun dan sistematik.
“Notis rasmi kepada gelandangan juga boleh dikeluarkan, agar mereka tahu di mana harus mendapatkan makanan tanpa perlu berpindah-randah,” jelasnya.
Bagi Zamin Amani dari Putrajaya pula, beliau mencadangkan NGO dan pihak berwajib menggunakan peranan digital dalam penyelarasan bantuan.

“Cadangan saya bila ada banyak NGO yang menderma dalam satu masa untuk diagihkan kepada banyak tempat, maka di sini perlunya diwujudkan implemen digital seperti laman web untuk kemudahan semua pihak.
“Bila ada akses begini, khalayak boleh tahu siapa yang terlibat dan apa yang boleh disumbangkan untuk gelandangan.
“Dalam erti kata lain, kewujudan laman web khas atau sistem digital bagi menyelaras lokasi agihan makanan sangat penting.
“Ia bagi memastikan tiada lebihan atau kekurangan bantuan di sesuatu kawasan pengagihan,” kata beliau.

Sementara itu, Nurul Effa Rizal memberi saranan agar mewujudkan penyelarasan melalui ‘pit stop’.
“Sebagai contoh, NGO dan badan yang terlibat menetapkan satu kawasan agihan dalam radius tertentu bagi memudahkan penyumbang mengedarkan makanan dengan lebih tersusun.
“Pit stop atau pusat sehenti ini juga boleh menjadi tempat golongan gelandangan mendapatkan makanan dengan lebih selesa tanpa perlu berjalan jauh atau menunggu di tempat yang tidak menentu,” ujarnya.

Tegas beliau, pihak berkaitan juga perlu menekankan kepentingan jadual pengagihan supaya keperluan penerima bantuan dapat dikenalpasti dengan lebih baik.
Secara keseluruhannya, isu gelandangan bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dengan hanya memberi makanan tetapi ia memerlukan kerjasama semua pihak iaitu NGO, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta masyarakat.
Langkah seperti mewujudkan pusat agihan, menggunakan teknologi digital untuk penyelarasan serta pit stop yang lebih tersusun boleh membantu mengurangkan kekeliruan dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Iroinya, membantu gelandangan bukan sekadar soal memberi makanan, tetapi mencari solusi jangka panjang agar mereka dapat keluar dari kitaran kesusahan ini.
Mungkin inilah masanya untuk kita bergerak ke arah sistem yang lebih tersusun, berkesan dan penuh keberkatan.
Dalam pada itu, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, terdapat beberapa lokasi kemudahan disediakan buat gelandangan oleh pihak kerajaan.

Antaranya ialah Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana, Pusat Transit Gelandangan Anjung Kembara, Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit dan Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku.
Mana-mana pihak yang berminat untuk membuat agihan makanan kepada gelandangan boleh menghubungi pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di talian 012-2419 029.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








