MAIPs nafi lantik NGO sebagai ejen zakat, tangguh sumbangan isu IHS
KANGAR – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menegaskan tidak pernah melantik mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai ejen rasmi kutipan atau agihan zakat.
MAIPs berkata, sebarang tindakan individu atau pihak yang mendakwa dilantik sebagai ejen adalah di luar bidang kuasa dan mandat badan berkenaan.
Menurutnya, kekeliruan yang timbul sebahagiannya berpunca daripada rujukan terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2018, yang dibuat sebelum penjelasan mengenai dasar Zakat Kaedah Taawun diperincikan.
“Pada tahun berikutnya, tiada lagi isu berbangkit berkaitan perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, MAIPs berkata, penyaluran sumbangan kepada NGO dibuat berdasarkan kategori asnaf fi sabilillah serta cadangan daripada pembayar zakat (muzakki).
“Pendekatan itu dilaksanakan berpandukan keputusan fatwa bagi memastikan kebajikan ummah terus terpelihara,” katanya lagi.
MAIPs turut berkata, setiap NGO yang menerima sumbangan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan dana termasuk perbelanjaan, agihan tunai dan kos operasi dalaman.
“Segala aktiviti dan penggunaan dana adalah di bawah kawalan serta tanggungjawab NGO berkenaan,” katanya lagi.
Berhubung isu melibatkan entiti IHS yang tular baru-baru ini, MAIPs memaklumkan pihaknya mengambil langkah proaktif dengan menangguhkan serta-merta semua bentuk sumbangan kepada NGO terbabit.
Penangguhan itu turut melibatkan mana-mana NGO lain yang mempunyai kaitan dengan pengurusan semasa entiti berkenaan sehingga siasatan selesai.
“Langkah ini bagi membolehkan semakan dilakukan terhadap modus operandi serta tatakelola pengurusan,” katanya lagi.
MAIPs turut memaklumkan semakan awal telah dimulakan dan kini pemeriksaan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru semua pihak berkaitan untuk mengambil langkah penambahbaikan segera bagi memastikan amanah serta matlamat fi sabilillah dapat dilaksanakan tanpa sebarang kompromi.
Dalam pada itu, MAIPs berkata, semua urusan kutipan dan agihan zakat dilaksanakan mengikut undang-undang, fatwa serta dasar sedia ada selain tertakluk kepada pemantauan dan pengauditan yang telus.
Justeru, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu tersebut dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan penambahbaikan yang sewajarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















