BERITA SEMASA

Subsidi bersasar RON95 jimat hingga RM4 bilion setahun – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 menerusi Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dijangka menjimatkan perbelanjaan kerajaan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun dan membolehkan lebih banyak dana disalurkan kepada program bantuan rakyat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah penjimatan itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang dan corak penggunaan sebenar bahan api.

Menurut beliau, penjimatan tersebut dicapai apabila subsidi tidak lagi dinikmati secara menyeluruh oleh golongan yang tidak layak seperti warga asing dan pengguna komersial.

Katanya, sehingga 31 Julai lalu, lebih 14.2 juta rakyat daripada lebih 16.7 juta individu yang layak menikmati RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, melibatkan penggunaan melebihi 13.4 bilion liter.

Beliau berkata, berdasarkan data penggunaan sebenar Budi95 bagi tempoh Oktober 2025 hingga Jun 2026, kurang daripada satu peratus pengguna menggunakan lebih 200 liter RON95 secara konsisten setiap bulan, manakala purata penggunaan adalah sekitar 100 liter sebulan.

“Ini menunjukkan had kelayakan semasa sebanyak 200 liter sebulan adalah mencukupi untuk menampung keperluan majoriti penerima tanpa menjejaskan corak penggunaan harian mereka,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Amir Hamzah, hasil penjimatan itu tidak disimpan sebagai lebihan fiskal semata-mata, sebaliknya disalurkan semula bagi memperkukuh jaringan perlindungan sosial dan meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, antara inisiatif yang menerima manfaat ialah peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM3.1 bilion serta peruntukan RM1 bilion bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif menangani kos sara hidup termasuk Program Jualan Rahmah MADANI.

Selain itu, kerajaan turut meneruskan Program Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Pas Bulanan My50 serta Kad 30 Hari dan Kad Konsesi BAS.MY bagi membantu mengurangkan beban kewangan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button