BERITA SEMASAPMX

Kerajaan tidak akan berganjak keputusan ‘sekat’ subsidi bagi golongan T20

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan berganjak daripada pendirian untuk tidak meneruskan subsidi haji dan elektrik bagi golongan kaya dan berpendapatan tinggi (T20).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana sekurang-kurangnya 40 peratus daripada subsidi yang disalurkan kerajaan kepada orang miskin turut dinikmati oleh golongan kaya.

“Dalam kajian dibentangkan oleh Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan dalam mesyuarat tadi, sekurang-kurangnya 40 peratus subsidi sampai kepada golongan kaya, jadi saya tidak faham kenapa sesetengah orang masih nak pertahankan,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Oleh kerana itu, kata Anwar, langkah penjimatan melalui tindakan merasionalisasi subsidi perlu dilaksanakan iaitu sebahagian daripada kerangka Naratif Ekonomi Madani yang akan dilancarkan kerajaan pada Ogos ini sebagai memberi satu panduan jelas bagi hala tuju dan tindakan pelaksanaan kementerian jabatan berkaitan.

Bagaimanapun, dalam sebarang langkah menetapkan mekanisme subsidi bersasar itu, kerajaan tidak sekali-kali berganjak dengan pendirian untuk mengurangkan subsidi bagi rakyat bawahan.

“(Mekanisme rasionalisasi subsidi) mungkin kita akan buat mengikut keadaan seperti kita sudah lakukan untuk tarif eletrik dan Tabung Haji kerana penjimatan itu perlu.

“Subsidi Tabung Haji dan elektrik selama ini dimanfaatkan golongan kaya tidak munasabah diteruskan, jadi prinsip ini akan tetap diguna pakai dalam perbincangan soal pengurangan subsidi diesel dan lain-lain,” kata Anwar lagi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mesyuarat MTEN kali ini membentangkan mengenai langkah lebih bermakna dari segi penstrukturan semula ekonomi dan Naratif Ekonomi Madani.

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) turut membentangkan berhubung kedudukan ekonomi sekarang, kekuatan dan kelemahannya serta beberapa langkah baharu diambil untuk memastikan ekonomi negara di tahap lebih kukuh dan pelaksanaan dasar berkesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button