PENDAPATRENCANA

Krisis integriti NGO: Antara kedermawanan dan kematangan tatakelola

MALAYSIA secara konsisten diiktiraf sebagai salah sebuah negara yang paling dermawan di dunia dalam World Giving Index.

Budaya menyumbang ini sudah sebati dalam jiwa masyarakat kita, merentasi batas agama dan kaum.

Namun, keindahan budaya ini kini tercalar dengan siri pendedahan berkaitan salah guna dana dalam kalangan organisasi bukan kerajaan (NGO) termasuk yang dipimpin oleh tokoh agamawan dan teknokrat.

Sprm
Dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes menyeleweng dana zakat. – Foto Bernama

Terbaharu, tersebar di media-media massa yang melaporkan bahawa seorang timbalan pengerusi sebuah NGO ialah antara tiga individu ditahan SPRM kerana disyaki menyeleweng dana berjumlah kira-kira RM230 juta.

Hasil siasatan awal mendapati semua suspek dengan dua daripada mereka adalah pengarah syarikat, disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara 2018 hingga 2024.

Begitulah jadinya, apabila kepercayaan awam dikhianati, ia bukan sekadar isu kehilangan wang, tetapi merupakan krisis integriti yang boleh melumpuhkan ekosistem kebajikan negara.

Sifat kedermawanan rakyat Malaysia sering dieksploitasi oleh ‘ekonomi emosi’ dalam media sosial.

Algoritma platform digital hari ini cenderung menaikkan kandungan yang menyentuh perasaan seperti gambar kemiskinan, tangisan atau tragedi yang secara tidak langsung menjadi alat pemasaran paling berkesan bagi NGO tertentu untuk mengumpul dana dengan pantas.

Masalah timbul apabila ‘pemasaran’ sebegini tidak disusuli dengan pelaporan kewangan yang setara.

Sifat kedermawanan rakyat Malaysia sering dieksploitasi oleh ‘ekonomi emosi’ dalam media sosial.

Seringkali, fokus diberikan sepenuhnya pada usaha mendapatkan sumbangan, manakala mekanisme penyaluran bantuan menjadi bahagian yang paling kabur.

Tanpa garis panduan etika pengiklanan kebajikan yang jelas, penderma sering tertipu oleh naratif kisah sedih dan menyayat hati yang diolah hanya untuk menarik simpati, tanpa jaminan bahawa dana tersebut sampai ke sasaran.

Kita perlu sedar bahawa kedermawanan tanpa soal selidik adalah satu bentuk kegilaan yang memberi ruang kepada penjenayah kolar putih untuk bersembunyi di sebalik topeng kebajikan.

Tatakelola yang efektif bukan sekadar tentang menyimpan resit, tetapi tentang perlembagaan (institutionalization) sesebuah NGO.

NGO tidak boleh lagi diuruskan seperti perniagaan milikan tunggal di mana kuasa membuat keputusan tertumpu pada seorang individu.

Bijak pandai tadbir urus organisasi banyak memerihalkan keperluan pelaksanaan Model “Tiga Barisan Pertahanan” (Three Lines of Defense) dalam sesebuah institusi termasuk NGO.

Pertama, pengurusan harian yang telus. Kedua, fungsi pematuhan yang memantau polisi. Ketiga, audit bebas yang tidak mempunyai pertalian kepentingan dengan ahli lembaga pengarah.

Selain itu, dasar Percanggahan Kepentingan (Conflict of Interest) perlu diwartakan.

Sebagai contoh, NGO dilarang sama sekali melantik syarikat milik ahli keluarga atau kenalan rapat untuk membekalkan perkhidmatan.

Apabila NGO beroperasi sebagai sebuah institusi yang mempunyai sistem semak dan imbang yang kental, risiko penyalahgunaan kuasa dapat dikurangkan secara drastik.

Kerajaan sendiri, melalui inisiatif terbaharu pada 2026, telah mula memberikan tekanan kepada NGO Islam untuk melakukan reformasi tatakelola bagi mengembalikan keyakinan masyarakat.

Dalam aspek psikologi, terdapat fenomena yang dikenali sebagai Halo Effect.

Fenomena ini secara automatik menganggap seseorang yang baik dalam satu aspek (seperti fasih berbicara tentang agama dan bijak melontarkan dalil naqli bersumberkan al-Quran dan Hadis) sebagai seorang yang sempurna dalam segala aspek, termasuklah pengurusan kewangan.

Ini menjadi perangkap terbesar masyarakat. Apabila seseorang tokoh diletakkan di atas ‘takhta kekaguman’ yang terlalu tinggi, pengikut cenderung untuk berhenti bertanya atau menegur.

Ilmu agama yang tinggi dan latar belakang teknokratik yang hebat, jika tidak disertai dengan sifat tawaduk (kerendahan hati) dan takut kepada Allah, hanyalah sekadar menjadi ilmu yang kering tanpa ruh.. – Foto Hiasan Canva

Selain itu, wujudnya fenomena moral licensing, di mana seseorang yang sering melakukan kebaikan merasa mereka layak untuk mengambil sedikit bahagian daripada dana sebagai ganjaran usaha mereka.

Mereka merasa kedudukan mereka menjadikan mereka kebal. Hakikatnya, ilmu hanyalah pemangkin, manakala integriti adalah amalan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.” (Surah An-Nisa’, ayat 58).

Ilmu agama yang tinggi dan latar belakang teknokratik yang hebat, jika tidak disertai dengan sifat tawaduk (kerendahan hati) dan takut kepada Allah, hanyalah sekadar menjadi ilmu yang kering tanpa ruh.

Islam mengajar konsep Tabayyun bukan sekadar untuk kesahihan berita, tetapi untuk menjaga maruah dan kestabilan masyarakat.

Dalam era digital, cancel culture (budaya memulau) seringkali menjadi hukuman segera sebelum proses keadilan undang-undang bermula.

Walaupun kita berhak menuntut keadilan, kita perlu membezakan antara kritikan membina dan pembunuhan karakter.

Islam melarang kita melampaui batas dalam menghina atau menyebarkan aib individu secara meluas, walaupun mereka bersalah, kerana fokus kita haruslah kepada pemulihan sistem dan pencegahan penyelewengan, bukannya kepuasan emosi melihat seseorang jatuh.

Dalam era digital, cancel culture (budaya memulau) seringkali menjadi hukuman segera sebelum proses keadilan undang-undang bermula. – Gambar hiasan

Netizen perlu menjadi masyarakat yang matang; simpan kemarahan untuk mendesak pihak berkuasa memperkasakan akta NGO, bukan sekadar menjadi hakim di ruangan komen yang hanya menambah dosa dan mengeruhkan keadaan.

Kesan jangka panjang daripada kes penyelewengan ini adalah defisit kepercayaan yang sangat mahal harganya. Apabila masyarakat hilang kepercayaan, NGO yang jujur dan benar-benar membantu golongan asnaf akan turut terjejas.

Bagi NGO yang masih teguh, ini adalah masanya untuk mereka melakukan ‘pendedahan sukarela’ secara proaktif. Tunjukkan penyata audit dan buka pintu untuk diaudit oleh pihak luar.

Bagi kita para penderma, jadikan kes ini sebagai pengajaran untuk menjadi ‘penderma yang berilmu’. Jangan hanya menderma kerana simpati, tetapi dermalah kerana percaya kepada sistem pengurusan institusi tersebut.

Jangan gantungkan harapan kita pada ‘wajah’, ‘manis mulut’, ‘kealiman’ atau ‘personaliti’ figura tertentu, tetapi gantungkan harapan pada prosedur dan ketelusan organisasi.

Ujian ini bukan bertujuan untuk mematikan semangat kita untuk menderma, tetapi untuk mendidik kita agar menjadi masyarakat yang lebih kritis, matang, dan mementingkan integriti sistem di atas segalanya.

PROF MADYA DR KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

PROF MADYA DR KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button