SPRM kerjasama bank kesan transaksi kes seleweng dana NGO RM230 juta
NILAI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama dengan institusi perbankan bagi meneliti transaksi kewangan melibatkan dua individu termasuk Timbalan Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang direman berhubung kes penyelewengan dana berjumlah RM230 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada siasatan bagi mengenal pasti aliran wang termasuk jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi mana-mana pihak.
Menurutnya, pihak bank dijangka mengambil masa kira-kira seminggu untuk mengemukakan dokumen berkaitan.
“Kita sedang mendapatkan banyak lagi maklumat dan keterangan. Apa yang ditunggu sekarang adalah pengesahan daripada pihak bank berhubung jumlah wang yang masuk ke akaun peribadi.
“Siasatan ini bukan sahaja tertumpu kepada tahun 2025 atau 2026, tetapi turut melibatkan tempoh lebih awal termasuk sejak 2018 hingga kini,” memetik Buletin TV3 online.
Azam turut berkata, lebih ramai individu termasuk ahli keluarga serta pihak NGO berkaitan akan dipanggil bagi membantu siasatan.
“Setiap pihak yang didapati menerima wang terbabit akan dipanggil untuk memberi penjelasan.
“Saya jangka apabila kita memperoleh maklumat akaun bank, lebih ramai pihak yang terlibat akan dikenal pasti dan dipanggil untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.
Tambah beliau, siasatan setakat ini menunjukkan wujud unsur penyelewengan dana apabila wang yang diterima tidak diurus mengikut peraturan sepatutnya.
“Dana yang diterima oleh NGO sepatutnya diurus mengikut undang-undang dan tatacara yang betul seperti organisasi lain.
“Bagaimanapun, hasil siasatan awal mendapati terdapat petunjuk jelas wang tersebut disalahgunakan untuk kepentingan peribadi termasuk pembelian aset,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







