SPRM siasat FELCRA perolehan pajakan sawit di Sabah, Kelantan bernilai RM241.76 juta
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menyiasat dakwaan kelemahan aspek tadbir urus dalam urusan pajakan ladang sawit FELCRA Berhad di Sabah dan Kelantan bernilai RM241.76 juta.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berdasarkan maklumat diterima daripada SPRM, suruhanjaya sudah pun mengambil maklum Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025.
“SPRM sedang menjalankan siasatan berhubung perkara ini. Justeru itu, SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan itu, selaras dengan subseksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta 694).
“SPRM sentiasa komited dalam memastikan setiap dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah ditangani secarategas serta telus demi memastikan tadbir urus negara berada pada tahap tertinggi.
“Langkah ini mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi awam,” katanya dalam jawapan bertulis dipaparkan di laman sesawang Parlimen.
Azalina menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berhubung sekiranya terdapat kertas siasatan SPRM dibuka terhadap laporan Ketua Audit Negara berkenaan salah tabir urus FELCRA.
LKAN 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Julai lalu mendedahkan pelbagai ketirisan dan kelemahan tadbir urus membabitkan kementerian, jabatan, agensi serta syarikat kerajaan dengan nilai keseluruhan projek diaudit mencecah RM48.87 bilion.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







