BERITA SEMASA

93,819 pekebun kecil Sarawak layak mohon BUDI Agri-Komoditi

SARIKEI – Seramai 93,819 pekebun kecil di Sarawak dikenal pasti layak memohon bantuan tunai RM400 sebulan menerusi Program BUDI Agri-Komoditi sehingga Jun lalu.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program berkenaan diperluaskan kepada petani dan pekebun kecil di Sabah serta Sarawak mulai 22 Jun lalu susulan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel.

“Bantuan ini disediakan kepada pekebun kecil dalam sektor sawit, getah, koko, lada dan kenaf yang berdaftar dengan agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi serta memenuhi syarat kelayakan,” katanya memetik laporan Utusan Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Agrikomoditi MADANI di Dewan Sentral Sarikei, di sini hari ini.

Menurut Noraini, bantuan kepada pekebun kecil tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pemberian peralatan atau insentif, sebaliknya perlu merangkumi khidmat nasihat, latihan, teknologi, kemudahan asas serta akses kepada pasaran.

Katanya, pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan pekebun kecil mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing, selain berdepan cabaran yang semakin kompleks.

Antara cabaran dihadapi sektor agrikomoditi ketika ini termasuk peningkatan kos input dan bahan api, tanaman yang semakin tua, kekurangan tenaga kerja, perubahan cuaca serta serangan penyakit.

Dalam perkembangan berkaitan, Noraini berkata industri lada menyumbang kira-kira RM2.27 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2025, meningkat berbanding RM2.24 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata industri berkenaan melibatkan kira-kira 39,000 pekebun kecil yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan mutu serta reputasi lada Sarawak di pasaran antarabangsa.

Sarawak kekal sebagai hab pengeluaran lada utama negara dengan menghasilkan hampir 98 peratus daripada keseluruhan pengeluaran lada Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button