BERITA SEMASA

PDRM hargai inisiatif BUDI95, bukti keprihatinan kerajaan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pelaksanaan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang akan mula berkuat kuasa pada 27 September ini melibatkan anggotanya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, inisiatif itu jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat khususnya anggota pasukan keselamatan yang berkhidmat di seluruh negara.

“Sebagai institusi penguatkuasaan undang-undang yang mendukung aspirasi Malaysia MADANI, PDRM melihat langkah strategik ini bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup, malah memperkukuh kesejahteraan sosial serta kestabilan negara.

“Kami percaya pengurangan kos bahan api akan memberi kesan positif kepada warga PDRM, meningkatkan motivasi serta daya tahan mereka dalam melaksanakan amanah demi ketenteraman dan keselamatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut memuji pendekatan inovatif kerajaan menggunakan MyKad di stesen minyak sebagai mekanisme pengesahan kelayakan, yang disifatkan selari dengan agenda pendigitalan negara.

“Ia merupakan manifestasi kesungguhan kerajaan dalam memastikan tadbir urus subsidi yang telus, cekap dan lestari,” katanya lagi.

Mohd Khalid turut berkata, PDRM komited untuk terus berganding bahu bersama kerajaan dalam menjayakan agenda nasional, memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara serta mengangkat martabat Malaysia di persada dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button