BERITA SEMASA

Sistem BUDI95 selamat daripada ancaman siber – Gobind

KUALA LUMPUR – Sistem yang digunakan dalam pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) selamat daripada sebarang ancaman siber.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, aspek keselamatan sistem yang digunakan dalam pelaksanaan BUDI95 sudah dikaji secara mendalam untuk menentukan keberkesanannya dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.

“Apa yang kita telah laksanakan ialah sistem yang mengambil kira kemungkinan tertentu. Ia selamat untuk diteruskan buat masa ini dan ini adalah aspek yang telah dilihat secara teliti.

“Fokus dan keutamaan yang diberikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam semua aspek pendigitalan adalah keselamatan. Oleh itu, sama juga dengan BUDI95, aspek keselamatan telah diberikan perhatian secara khusus dan sistem sedia ada bersedia untuk semua kemungkinan,” katanya.

Gobind berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Cyber Digital Services, Defence and Security Asia Exhibition and Conference (CyberDSA 2025) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Gobind berkata, Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 2026–2030 yang dirangka dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Digital Negara akan dilancarkan hujung tahun ini.

Beliau berkata strategi itu menggariskan aspek pengukuhan keselamatan siber dan membina keyakinan pengguna siber bagi tempoh 2026-2030.

“Saya harap kita dapat melancarkan dokumen tersebut sebelum akhir tahun ini supaya gerak kerja kita ke hadapan terutamanya dalam aspek membina kepercayaan digital dapat dilihat, difahami dan dilaksanakan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button