BERITA SEMASAPMX

BUDI95: PM puji keberkesanan Kementerian Komunikasi sampaikan maklumat

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji keberkesanan Kementerian Komunikasi dalam menyampaikan maklumat berkaitan pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95), yang disifatkannya sebagai antara contoh terbaik komunikasi kerajaan dalam menjelaskan sesuatu dasar kepada rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penerangan yang jelas dan tersusun mengenai inisiatif berkenaan berjaya meningkatkan kefahaman rakyat serta mengurangkan kekeliruan terhadap pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar petrol RON95 itu.

“Kejayaan terbesar saya fikir kementerian ini adalah dalam soal BUDI95. Apabila diberi penerangan lebih jelas, ia tidak menimbulkan banyak masalah.

“Sekali lagi saya ucap tahniah kepada rakan-rakan, Fahmi (Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil), KSU (Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah) dan seluruh warga Kementerian Komunikasi kerana kegigihan menyampaikan maklumat dengan baik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Turut hadir Fahmi; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menurut Anwar, walaupun masih terdapat segelintir pihak yang membangkitkan isu berkaitan harga bahan api, pelaksanaan BUDI95 membuktikan bahawa strategi komunikasi yang berkesan mampu meningkatkan penerimaan rakyat terhadap sesuatu dasar kerajaan.

Beliau berkata, kejayaan sesuatu dasar bukan sahaja bergantung kepada pelaksanaannya, malah turut dipengaruhi oleh kemampuan kerajaan menjelaskan tujuan, mekanisme dan manfaat dasar tersebut kepada masyarakat.

BUDI95 merupakan inisiatif Kerajaan MADANI bagi memastikan subsidi petrol RON95 disalurkan secara lebih bersasar kepada rakyat Malaysia yang layak, dengan harga subsidi RM1.99 seliter.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button